KAMPAR: Dua pelajar Tahfiz memperoleh pengalaman berbeza apabila terpilih menjadi Imam di Kampung Orang Asli Sungai Gapes, Sahom, di sini sepanjang bulan Ramadan kali ini.
Muhammad Adzfar Zikri Mastor, 17, dan Amirul Haziq Faizul, 19, dari Maahad Tahfiz Al Quran Addin Malim Nawar terpilih untuk menjadi imam di Surau Al-Hasanah yang siap dibina tahun lepas bagi penduduk di situ.
Muhammad Adzfar yang berasal dari Lumut berkata walaupun baru beberapa hari namun ia mencatat pengalaman manis kerana tidak pernah memasuki mana-mana perkampungan Orang Asli sebelum ini.
Anak bongsu dari enam beradik itu berkata dia gembira dapat membimbing solat jemaah dan solat terawih secara bergilir-gilir dengan Amirul Haziq berbanding menjadi imam di bulan Ramadan di kawasan taman dan bandar pada tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, Amirul Haziq yang berasal dari Batu Gajah berkata dia berasa sedikit gemuruh apabila diberitahu perlu tinggal di perkampungan Orang Asli kerana tidak mengetahui keadaan sebenar kawasan itu namun persepsinya berubah apabila tiba di situ beberapa hari lepas.
“Apabila datang tengok dunia Orang Asli baru saya tahu keadaan di kampung ini yang tenang dan sejuk. Penduduk di sini juga baik dan ramah ketika ditegur, lama-lama saya boleh membiasakan diri,” katanya.
Anak sulung dari tiga beradik itu juga berharap lebih ramai penduduk kampung yang tertarik dengan agama Islam dan mengimarah surau berkenaan.
Amirul Haziq berkata ini merupakan kali keempat dipilih menjadi imam pada bulan Ramadan namun ditempatkan di perkampungan Orang Asli disifatkannya agak mencabar.
“Saya akan mengambil pengalaman di sini jadi selepas ini saya boleh dihantar lagi di kawasan-kawasan lain yang mungkin lebih jauh kerana boleh membiasakan diri di tempat orang,” katanya.
BACA JUGA
Misi Ramadan MAPIM Rangers: Ramadan bermakna buat masyarakat Orang Asli di Pahang
Pada Oktober 2021, BERNAMA melaporkan rumah ‘Amek’ atau nama sebenarnya Nur Halimah Abdullah@Bah Tarek menjadi lokasi umat Islam di perkampungan Orang Asli Sungai Gapes untuk bersolat jemaah dan mendalami ajaran Islam, berikutan ketiadaan surau di kawasan itu sejak 25 tahun.
Rumah dimiliki Amek yang bermaksud ibu dalam bahasa Semai itu telah dijadikan pusat pertemuan untuk merapatkan saf selain tujuan beribadah selama tiga tahun kerana Nur Halimah merupakan antara individu pertama memeluk Islam di kampung itu pada 1996.
Bagaimanapun, masalah yang dihadapi komuniti kecil umat Islam membabitkan enam keluarga di situ selesai apabila kakaknya, Wan Icha Bahtarek, 58, bersetuju untuk menghadiahkan tanahnya untuk dijadikan sebuah surau menggunakan dana yang disumbangkan orang ramai dan bantuan Pejabat Menteri Besar Perak.
Sementara itu, pembantu Hal Ehwal Agama Islam (Mubaligh) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Abd Halim Abdul Latiff berkata dua remaja berkenaan adalah pelajar tahfiz yang ditaja oleh badan bukan kerajaan Street Dakwah untuk menjadi imam surau sepanjang bulan Ramadan ini.
Abd Halim yang turut ditugaskan di Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkata mereka dipilih berdasarkan tapisan mengikut pelajar yang sudah khatam 30 juzuk dan menghafaz empat juzuk Al-Quran.