KUALA LUMPUR : Pelajar Malaysia yang terkesan dengan banjir yang melanda Queensland, Australia kini berada dalam keadaan selamat dan telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan berkata, pihak berkuasa tempatan memindahkan pelajar tersebut, pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia berstatus penduduk tetap (PR) yang tinggal Queensland.
“Pejabat Mara Australia, Pejabat Pendidikan dan Latihan New Zealand, Pejabat Malawakil Canberra, wakil penaja iaitu Petronas dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta Persatuan Pelajar Malaysia-MASCA National dan MASCA Queensland merupakan antara agensi yang terlibat dalam urusan perpindahan dan kebajikan pelajar terbabit.
“Ia juga bagi memudahkan pemantauan dan koordinasi oleh pihak berkuasa serta Pejabat Malawakil Canberra,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pelajar-pelajar lain yang terjejas dinasihatkan agar berpindah ke pusat pemindahan sementara memandangkan kebarangkalian berlaku bekalan elektrik dan air diputuskan dan situasi banjir itu kini dipantau oleh pejabat Education Malaysia Australia (EMA).
Dalam pada itu, KPT juga memberitahu mereka sentiasa berhubung dengan pihak EMA dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa dan tindakan lanjut yang perlu diambil.