Pelajar Malaysia dibenarkan masuk ke China mulai 24 Ogos

KUALA LUMPUR : Bermula 24 Ogos ini, pelajar asing yang memegang permit belajar di China yang masih sah akan dibenarkan memasuki negara itu.
Menurut Kedutaan China di Malaysia, pihaknya akan menerima permohonan visa pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di China mulai sekarang.
“Kerajaan China amat memberi perhatian terhadap pelajar asing yang berhasrat kembali menyambung pengajian ke China.
“Jabatan yang bertanggungjawab dari China dan Malaysia telah bekerjasama rapat dalam hal ini dan telah mencapai beberapa kemajuan,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya.
Dalam pada itu, kakitangan berkaitan telah diminta memberi perhatian kepada notis terkini yang dikeluarkan di laman sesawang kedutaan dan platform berkaitan yang lain.