Pelajar IPT dibenarkan pulang cuti semester – KPT
PUTRAJAYA : Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester yang akan bermula pada Isnin ini sehingga Oktober depan.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berkata kementerian itu telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan pergerakan pelajar di IPT secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka terkawal.
“Bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
“Pergerakan pelajar di dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tersebut tamat”, katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, katanya, kementerian telah menetapkan kaedah pergerakan sehala pelajar menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan oleh IPT masing-masing dengan pematuhan Operasi Standard (SOP) yang ketat.
“Pergerakan pelajar menggunakan kenderaan sendiri turut dibenarkan. Ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang.
“Bagi pelajar yang pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan, kos ujian calitan RT-PCR akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Kos kuarantin pula akan ditanggung oleh kerajaan negeri masing-masing,” tambahnya.
Pihak yang terlibat boleh merujuk kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan FAQ Pergerakan Pelajar Pulang bagi mendapatkan perincian maklumat berkenaan pergerakan pelajar.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang beroperasi 24 jam sehari di talian 03-88706777/6949/6623/6628, menerusi laman web IPT atau terus menghubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing,” katanya.
Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ