Semasa

Semua cawangan pejabat pos ditutup 4 hari sempena Hari Pekerja, Aidilfitri

PUTRAJAYA : Sempena cuti umum panjang yang bermula pada 1 Mei minggu hadapan, semua cawangan Pos Malaysia dan Pusat Pos Laju di seluruh negara ditutup selama empat hari.

Menurut hantaran Pos Malaysia Berhad di laman Facebook rasminya,  pemberian cuti itu adalah bagi menghargai dan sebagai tanda kasih terhadap barisan hadapan Wira pos telah gigih berkhidmat.

“Abang Posmen kami pun akan berehat seketika sempena dengan Hari Raya Puasa. Justeru marilah kita bersama keluarga tersayang tahun ini,” menurutnya.

Pos Malaysia Berhad turut menjelaskan bahawa semua penghantaran mel dan bungkusan secara pos atau kurier juga turut ‘berehat’ namun hanya tiga hari yang bermula pada 2 Mei ini.

Mengulas lanjut, kesemua perkhidmatan agensi berkenaan akan kembali beroperasi seperti biasa semula kepada orang awam mulai 5 Mei hadapan.

Tarikh 1 Mei (Ahad) depan merupakan cuti umum bersempena Hari Pekerja tetapi dianjak keesokan harinya manakala 2 dan 3 Mei pula umat Islam dijangka menyambut perayaan Aidilfitri.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button