DuniaSemasa

Peguam Bangladesh dituduh hina Nabi Muhammad

DHAKA : Pada rabu lalu gempar di media sosial apabila seorang peguam warga Bangladesh dilaporkan menghina Nabi Muhammad SAW, sehingga menambahkan lagi ketegangan sedia ada di seluruh negara itu.

Ketika negara Asia Selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam itu berang terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, tular pula hantaran di Facebook mengenai penghinaan Nabi Muhammad SAW.

Bantahan besar-besaran di Mahkamah Agung Bangladesh turut dilakukan oleh peguam lain di tempat peguam itu bekerja, serta merosakkan pejabatnya.

Majlis Peguam Mahkamah Agung Bangladesh sudah pun menggantung keahlian peguam tersebut dan mereka juga melakukan perhimpunan bagi mendesak peguam itu segera dihukum.

Pada malam rabu, peguam tersebut telah di failkan kesalahan di Balai Polis Shahbag, Dhaka.

“Kami sudah pun menerima kes yang diklasifikasi sebagai diari aduan (GD) dan akan menyerahkan laporan itu kepada unit siber esok (Khamis) untuk siasatan,” kata pegawai bertugas, Moulud Hawlader kepada Anadolu.

Menurut laporan polis, kenyataan peguam itu sangat menggugat keharmonian penduduk dan mengguris sentimen Islam.

Seorang peguam kanan Mahkamah Agung, Md Jashim Uddin, menegaskan tindakan yang dibuat peguam itu sangat tidak dijangka.

“Kami menuntut hukuman teladan supaya tiada lagi yang berani melakukan perbuatan keji menghina Nabi bagi memusnahkan keharmonian penduduk negara itu,” katanya.

Perarakan ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Dhaka pada Khamis ini, dilaksanakan oleh parti Islam terbesar Bangladesh, Islam Andolan bagi menyerahkan memorandum menuntut supaya hukuman dijatuhkan ke atas dua pegawai parti itu.

Minggu lalu, tunjuk perasaan besar-besaran turut diadakan di Bangladesh selepas solat Jumaat berhubung perkara itu.

Kerajaan India mengatakan, kenyataan yang dibuat oleh pegawai terbabit, seorang daripadanya telah digantung keahlian manakala seorang lagi sudah dipecat dan jelas tingkahlaku ini tidak menggambarkan pendirian sebenar parti.

-Agensi

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button