RamadanSemasa

Pecutan akhir buru Lailatulqadar di 10 malam terakhir Ramadan

Lailatulqadar adalah malam teragung penuh kemuliaan yang Allah SWT hadiahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan hanya akan berlaku pada salah satu malam dalam 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Perkataan lailatulqadar berasal dari dua perkataan Bahasa Arab, iaitu ‘lailah’ yang bermaksud malam iaitu bermula apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar. Manakala ‘al-Qadar’ pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Memburu lailatulqadar yang merupakan sebuah malam yang lebih baik daripada seribu bulan adalah satu perbuatan yang dituntut.

Justeru digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada malam-malam terakhir bulan Ramadan bagi meraih pahala beribadah pada malam al-Qadar tersebut.

Daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

تَحَيَّنُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ

Maksudnya: Carilah lailatul qadr itu pada 10 malam yang terakhir (bulan Ramadhan).

Riwayat Muslim (1165)

Kredit Foto Twitter Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Di antara kelebihan menghidupkan malam al-Qadr dengan ibadah adalah dosa-dosa kecil diampunkan.

Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (1901)

Yang dimaksudkan dengan qiyam (menghidupkan) di situ adalah dengan menghidupkan malam lailatulqadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.

Selain itu, mendapat ganjaran amalan melebihi seribu bulan.

Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ

Maksudnya: Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.

Surah al-Qadr (3)

Semoga sepuluh malam terakhir Ramadan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dengan memperbanyakkan amalan soleh serta ibadah bagi memburu lailatulqadar.

 

 

Related Articles

Back to top button