DuniaInspirasi

Pasangan suami isteri Sri Lanka berkhidmat di Masjidil Haram selama 17 tahun

MEKAH : Sepasang suami isteri warga Sri Lanka amat berbesar hati kerana mendapat peluang unik berkhidmat untuk jemaah Haji dan Umrah serta pengunjung Masjidil Haram di Mekah selama 17 tahun.

Pasangan itu, Ashraf dan Fatima, adalah antara 12,000 pekerja di bawah Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci yang ditempatkan di Masjidil Haram.

Pasangan itu menzahirkan rasa gembira kerana diberikan penghormatan untuk berkhidmat di tempat suci Islam untuk tempoh yang lama.

Mereka memuji Yang Maha Kuasa kerana mengurniakan mereka rahmat-Nya yang tidak terhingga untuk terlibat dalam pekerjaan yang membolehkan mereka mencari rezeki dan pada masa yang sama mendapat keredhaan Tuhan.

Mereka mengimbau banyak kisah dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa bekerja tempat suci itu.

Kisahnya bermula 17 tahun lalu apabila Fatima datang bekerja di Masjidil Haram. Dia ditugaskan untuk menjaga tempat solat wanita serta sejadah terbentang di situ. Selepas beberapa tahun, dia mahu membawa suaminya Ashraf untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan di situ.

“Selepas empat tahun bekerja di Masjidil Haram, saya memohon Presidensi Masjidil Haram membenarkan saya membawa suami saya dari Sri Lanka untuk bekerja bersama saya. Presiden memberi kelulusan untuk permintaan saya, dan akhirnya, Ashraf diambil sebagai pekerja di Masjidil Haram, “katanya.

Walaupun Ashraf keseorangan di Sri Lanka, dia sibuk dengan beberapa aktiviti di sana. Oleh itu, pada mulanya, beliau keberatan untuk meninggalkan Sri Lanka ke Arab Saudi.

Namun, pujukan berterusan Fatima mengubah fikirannya dan dia memutuskan untuk berangkat ke Mekah. Kini, dia berasa amat gembira kerana mendapat nikmat yang besar ini bekerja di Masjidil Haram dan melayani jemaah haji dan jemaah siang dan malam.

“Ia merupakan suatu kebanggaan dan kegembiraan yang amat besar bagi saya bekerja di Masjidil Haram.

“Saya dan Fatima bekerja dalam syif yang sama dan membantu antara satu sama lain, dan kami mengerjakan umrah setiap minggu, “katanya sambil menyatakan bahawa pekerjaan di Mekah telah mengubah hidup mereka sepenuhnya dan mereka berasa diberkati dalam melayani jemaah haji dan pengunjung ke Masjidil Haram.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button