SemasaSyria

Pulih daripada gempa bumi di Syria dan Turkiye

Tiga bulan selepas dua gempa bumi yang menghancurkan tenggara Turki dan Syria, berjuta kanak-kanak masih memerlukan bantuan kemanusiaan yang mendesak.

Berjuta orang telah dipindahkan setelah terpaksa meninggalkan rumah-rumah yang musnah dan kini tinggal di tempat perlindungan sementara.

Gempa bumi juga menyebabkan kerosakan meluas kepada sekolah-sekolah dan infrastruktur penting lain, yang lebih mengancam kesejahteraan kanak-kanak dan keluarga.

Akses kepada air bersih dan sanitasi yang selamat juga merupakan kebimbangan utama, begitu juga keperluan kesihatan bagi penduduk yang terjejas.

Sementara itu, United Nations International Children’s Emergency Fund (UNICEF) tanpa henti berusaha memenuhi keperluan terkini keluarga-keluarga tersebut dengan menyediakan bantuan seperti bekalan air bersih, pemeriksaan untuk kekurangan zat makanan akut, kit kebersihan, serta sokongan psikososial, pusat pembelajaran sementara, dan bantuan tunai kecemasan bagi keluarga yang paling terjejas akibat gempa bumi.

Walaupun cabaran untuk usaha ini pelbagai, UNICEF akan terus memberikan sokongan, termasuk berusaha mengembalikan kanak-kanak belajar secepat mungkin dan membantu mengurangkan tekanan ekonomi terhadap keluarga mereka.

Di Syria, di mana kanak-kanak sudah pun menghadapi situasi kemanusiaan yang paling kompleks di dunia, UNICEF telah meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas sambil menilai kesan gempa bumi.

Menjelang akhir April, lebih 8.8 juta orang di Syria, termasuk 3.7 juta kanak-kanak, wanita hamil dan menyusu, telah terjejas dan memerlukan bantuan air, tempat tinggal, makanan dan kecemasan kecemasan serta psikososial.

Di Türkiye, respons UNICEF telah memfokuskan pada menyediakan sokongan psikososial kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas, menyediakan ruang pembelajaran sementara dan mesra kanak-kanak, mengenal pasti kanak-kanak yang terpisah dan tanpa penjaga, dan menyatukan semula mereka dengan keluarga atau penjaga baru.

Menjelang akhir April, dianggarkan 2.6 juta orang tinggal di dalam khemah di penempatan rasmi merentasi kawasan terjejas gempa bumi, manakala hampir 2 juta orang tinggal di tapak tidak formal atau bersebelahan rumah mereka yang rosak, berteduh di khemah atau tempat perlindungan sementara, dengan akses terhad atau tiada langsung akses kepada perkhidmatan.


Walaupun telah menerima sedikit bantuan, keluarga di penempatan tidak rasmi masih memerlukan tempat tinggal yang lebih baik dan barangan asas isi rumah serta perkhidmatan air dan sanitasi yang lebih baik.

UNICEF menyediakan sokongan kewangan untuk membaiki sekolah dan menyokong Kementerian Pendidikan Kebangsaan dengan langkah pendidikan sementara.

Ini termasuk mendirikan ratusan khemah untuk aktiviti pembelajaran seperti kelas kejar masa dan persediaan peperiksaan, serta menubuhkan bilik darjah pasang siap.

UNICEF menerusi laman rasminya menegaskan bahawa kanak-kanak mesti berada di hadapan usaha pemulihan supaya masa hadapan negara tidak terjejas selepas bertahun-tahun malah berdekad-dekad akan datang.

Related Articles

Back to top button