SEREMBAN : Program ‘Back To Nature’ anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) memupuk penggunaan sumber semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan dalam penghasilan produk, fabrik serta mesra alam.
Program tersebut telah dirasmikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al- Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj pada 19 Jun 2022.
Program bertemakan ‘Vaksinasi Cegah Covid-19, Kemahiran Cegah Kemunduran’ bertujuan melahirkan usahawan yang berkemahiran dalam menghasilkan produk mesra alam.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menerima jemputan menghadiri pameran tersebut yang diadakan di AEON Seremban 2 hari ini bagi perkongsian ilmu selain menunjukkan hasil karya produk Natural Dye dan proses pembuatan fabrik eco print.
Menurut pegawai khas MAPIM Malaysia, Muhammad Fazli Othman, beliau yang kurang minat dalam bidang seni kini bertukar jadi minat selepas dapat menambah ilmu pengetahuan tentang kaedah pembuatan fabrik menggunakan tumbuh-tumbuhan menerusi pameran “Back to Nature” ini.
“Program ini mendekatkan diri kita dengan alam sekitar dan saya berpendapat bahawa ia merupakan satu idea yang baik bagi mendidik masyarakat untuk bersahabat dengan alam, memastikan keindahannya masih dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.
Semasa program “Back to Nature” berlangsung, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan iaitu pameran, booth jualan dan bengkel untuk pengunjung merasai pengalama melukis dan menjahit sendiri baju dan tote bag.