RAMALLAH: Tragedi menyayat hati apabila sebuah kemalangan nahas yang melibatkan sekurang-kurangnya lapan warga Palestin maut ketika van dinaiki berlanggar dengan lori simen di Tebing Barat.
Menurut laporan agensi berita WAFA, dua kenderaan terbabit menghala ke Lembah Jordan bertembung di sebuah persimpangan di Route 90 yang dikuasai Israel dekat perkampungan Fasayil di utara Tebing Barat.
Kakitangan perubatan pasukan penyelamat Israel, Magen David Adom, dalam satu kenyataan, berkata suasana di lokasi kemalangan amat mengerikan sejurus kelihatan sebuah lori dan kenderaan awam musnah di tepi jalan.
Media tempatan melaporkan kesemua mangsa adalah remaja berusia antara 14 dan 17 tahun, namun masih belum dapat disahkan secara rasmi oleh AFP.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas, mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung sebagai tanda simpati kepada mangsa, lapor WAFA.
Tujuh mangsa maut di lokasi nahas disahkan oleh anggota perubatan dan Wafa kemudian melaporkan ada seorang lagi mangsa yang maut.
Selain itu, tiga mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital di Israel menggunakan helikopter.
Kerajaan Jordan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa manakala Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz, mengeluarkan nota simpati berhubung tragedi itu.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga di Palestin yang kehilangan lapan orang tersayang mereka dalam kemalangan hari ini,” katanya.
Polis Palestin memberitahu AFP bahawa mangsa adalah pekerja dari bandar Aqraba, dekat Nablus. – AFP
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today