RAMALLAH: Jumlah kes COVID-19 varian Omicron di Palestin meningkat kepada 291 selepas 49 lagi kes dikesan dalam beberapa hari kebelakangan ini, kata Kementerian Kesihatan.
Dalam satu kenyataan akhbar, jurucakap Minister of Health (MoH), Kamal Al-Shakhra berkata 49 lagi kes varian Omicron COVID telah dikesan di negara itu yang menjadikan jumlah meningkat kepada 291 kes.
Minggu lalu, Al-Shakhra berkata majoriti kes varian yang sangat mudah ditularkan dilaporkan di Tebing Barat, dan hanya satu kes telah didaftarkan setakat ini di Gaza.
Beliau menggesa orang ramai mendapatkan vaksin secepat mungkin bagi membendung penularan wabak dan risiko dimasukkan ke hospital.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah memberi amaran bahawa varian Omicron akan merebak lebih cepat berbanding varian delta, susulan banyak peningkatan kes oleh varian baharu itu memberi kesan besar di seluruh dunia.
Menurut kenyataan Khamis lalu, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran supaya tidak menyifatkan varian Omicron sebagai “ringan” di tengah-tengah “kesan tsunami” yang melanda sistem kesihatan di seluruh dunia.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today