Pahala yang terus mengalir…
Buku `Indahnya Hidup Bersyariat' diterjemah ke bahasa Jepun
BANGI : Perginya beliau, Allahyarham Datuk Ismail Kamus, pada 15 Ramadan 1441 Hijrah , tahun lalu, dilihat sebagai kehilangan sebutir permata, dan setahun berlalu, banyak amalan, video ceramah dan juga naskah yang ditinggalkan beliau. Antaranya buku berjudul ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang kini telah pun diterbit dan diterjemah ke dalam bahasa Jepun.
Selaras dengan perkembangan Islam di negara matahari terbit itu yang terus menunjukkan tanda-tanda positif penterjemahan buku berkenaan dilihat mampu membantu memberi penerangan, pemahaman terhadap agama yang syumul ini, sekaligus dengan izin Allah i abakal menambah jumlah saudara baru di negara berkenaan.
Ketika ini masyarakat Islam di Jepun sudah mencecah 100,000 orang dengan institusi Islam seperti masjid yang kian meningkat kepada 40 buah di seluruh negara itu. Perkembangan itu juga mencatat satu sejarah kepada dunia dakwah negara ini apabila buku diterjemah ke dalam bahasa itu.
Buku yang tercetak sebanyak sejuta naskhah di Malaysia itu kini sedang diinfaqkan kepada orang ramai yang sudi buat pembacaan oleh masyarakat di Jepun. Infaq buku berkenaan dapat dilakukan oleh mereka yang sudi sempena mengambil berkat bulan Ramadan ini sahaja. Anda boleh menyumbang di link yang disediakan ini https://malizaventures.kiah.store/ihbvbj
Awal April lalu, pelancaran secara maya edisi bahasa Jepun buku terbabit disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, secara langsung di laman Facebook Masjid Putra Heights.
Buku berkenaan diterjemah dan dicetak hasil usaha sama Program Infaq Ilmu dan Dakwah ke Jepun, Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS), Masjid Putra Heights, Bank Rakyat dan Telaga Biru Sdn Bhd.
Klik:
https://www.facebook.com/ustazismailkamus/videos/1193997667720720/
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr Zulkifli berkata, penerbitan buku terjemahan itu tepat pada masanya dalam menyemarak dakwah selain memenuhi lompong dan keperluan umat Islam yang masih mentah dalam pengetahuan agama.
“Kita harap versi bahasa Jepun ini dapat mencetus satu gelombang atau ‘tsunami’ baharu masyarakat Islam setempat untuk beramal. Terhasilnya buku ini diharap dapat menjadi panduan kepada da’i yang hendak meneroka bidang dakwah di Jepun.” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
“Besar harapan saya supaya buku ini mampu menjadi medium penyebaran dakwah Islam bagi manfaat warga Jepun di Malaysia dan juga di negara Jepun sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelaras Program Infaq Ilmu dan Dakwah ke Jepun, Datuk Zulkifli Abdul Malek, berkata buku itu akan diedarkan dan disumbangkan secara percuma kepada rakyat Jepun.
“Turut menjadi penerima buku ini juga ialah institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia yang menjalankan program berkaitan bahasa Jepun serta pelajar Jepun yang kini menuntut di universiti awam dan swasta seluruh negara.” – Ketua Penyelaras Program Infaq Ilmu dan Dakwah ke Jepun, Datuk Zulkifli Abdul Malek
“Selebihnya akan disumbangkan kepada Islamic Centres atau Pusat Informasi Islam di Jepun melalui Japan Dakwah Centre,” katanya.
Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka juga sudi mewakili rakyat Jepun untuk menerima buku itu.
Duta Hiroshi Oka dalam ucapannya juga menyentuh mengenai kerjasama Kuala Lumpur-Tokyo yang telah terjalain sekelian lama dapat di pererat dengan lebih ramai masyarakat Jepun mengetahui lebih mendalam mengenai Islam dan orang Islam di Malaysia, khususnya dengan lebih mendalam.
Buku Indahnya Hidup Bersyariat adalah panduan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan umat sejagat, merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekanan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munahakat (nikah kahwin dan rumahtangga) serta amalan zikir, doa dan adab bersumberkan al-Quran dan hadis sahih.
Mewakili pihak Allahyarham Datuk Ismail Kamus, anaknya, Ustaz Ahmad Firdaus berkata penterjemahan buku itu adalah satu usaha yang baik untuk perkembangan Islam. Beliau berharap usaha itu terus dipanjangkan dan memberi manfaat kepada seluruh Jepun dan juga masyarakat di Malaysia.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai dan harta yang disedekahkannya.” (Riwayat Ibn Majah)
Berdasarkan hadis itu itu, ilmu yang disebarluaskan merangkumi antara amalan-amalan yang mampu memperindah laluan kita ke syurga.
Semoga semua pihak yang membantu menerbit menterjemah dan mengedar buku itu mendapat ganjaran daripada Allah SWT dan memanfaatkan diri dan Ummah.
UMMAHToday mengucapkan salam ingatan atas setahun pemergian kepada Allahyarham Datuk Ismail Kamus, dan disedekahkan Al Fatihah buat murabbi ummah. Al -Fatihah.