
(Dr) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivist MAPIM mengesyorkan langkah-langkah untuk menghadapi situasi ‘partial lock down‘ di laman Facebook nya semalam setelah Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang akan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 (esok).
Keadaan ini menyebabkan sesetengah rakyat Malaysia panik sehingga ada yang mula memborong barang keperluan di pasar raya berdekatan menyebabkan kebanyakan keperluan asas kini mula berkurangan.
Memetik kata-kata (Dr.) Sani Araby, beliau memberi syor agar masyarakat kekal tenang dan mengambil peluang ini untuk bekerjasama dalam kejiranan masing-masing bagi memastikan kelangsungan hidup dan kebajikan dapat dijamin secara kolektif.
Setiap rumah boleh bincang stock list dan kalau ada 100 rumah jiran, insyallah boleh je survive. Group whatapps dapat menjadi platform yang baik. Bincang dan ready secara kolektif agar kita boleh membantu satu sama lain dan tak jadilah panic buying yang tak sepatutnya berlaku.
– (Dr.) Sani Araby
Sementara itu, banyak laporan merekodkan kehabisan barangan asas di kebanyakan pasar raya besar seluruh negara. Terdapat beberapa rak menempatkan produk seperti roti, beras serta lain-lain juga dilihat kosong dipercayai kehabisan bekalan makanan terbabit.
“Sudah empat hari orang ramai ‘menyerbu’ pasar raya ini hingga menyebabkannya amat sesak. Sejak empat hari lalu, pelanggan di premis ini semakin ramai hingga mencecah tiga kali ganda daripada jumlah pada hari biasa,” kata seorang pekerja sebuah pasar raya di Bangsar, yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai membuat pembelian panik.
Para pembeli yang mengunjungi pasaraya menyatakan kebimbangan masing-masing mengenai kemungkinan situasi bertambah parah dan perintah berkurung diwartakan oleh pihak berkuasa. Justeru persiapan awal dibuat bagi mengelakkan terputus bekalan makanan.
Barisan pengunjung beratur untuk membuat pembayaran juga dilihat panjang sehingga ke bahagian belakang pasar raya berkenaan.
Dalam pada itu, bagi memastikan orang ramai dapat membuat tindakan yang bersesuaian dengan had pergerakan yang telah dikuatkuasakan, berikut adalah 6 langkah yang boleh dijadikan panduan untuk kekal produktif.
1. Utamakan kualiti diet yang perlu diambil, bukan kuantiti makanan
Hanya kerana anda perlu menyimpan stok makanan tidak bermakna anda perlu hidup dengan makanan segera atau makanan dalam tin. Sebaliknya anda boleh sediakan pelbagai makanan dari bahan mentah yang segar dengan memasak dalam kuantiti yang banyak dan simpan dalam peti sejuk beku. Jadi anda masih dapat menikmati diet yang seimbang setiap hari tanpa rasa bosan. Pastikan ada bekalan makanan ringan untuk kudapan yang menyelerakan terutamanya bagi kanak-kanak kerana mereka lebih kerap lapar berbanding orang dewasa.
2. Jika anda bekerja dari rumah, lakukan dengan betul!
Bekerja dari rumah adalah ibarat mimpi indah – berkain pelikat atau batik sepanjang hari, membuka laptop di atas katil menulis kertas kerja sambil menonton drama – tetapi ia sebenarnya boleh menjadikan hari anda berlalu dengan tidak produktif dengan cepat kerana terlalu banyak gangguan ketika anda cuba menyiapkan tugasan.
Oleh itu, anda perlu jaga rutin bekerja sebanyak mungkin, termasuk berpakaian kemas, makan sarapan pagi mengikut waktu dan melakukan ritual hari kerja seperti duduk di meja, membuka email dan portal syarikat dan sebagainya yang paling menyerupai rutin kerjaya anda. Banyakkan penggunaan aplikasi cloud based di mana penyimpanan fail dan perkembangan tugasan direkod di atas talian seperti Google drive, JIRA, Trello, Evernote, dan sebagainya. Kekalkan komunikasi bersama ahli kumpulan melalui video conference dengan aplikasi Skype, Zoom, GoToMeeting dan lain-lain.
3. Gunakan masa kuarantin untuk meluangkan masa dengan anak-anak
Jika risaukan anak kecil, tetapkan rutin mereka juga supaya mereka kurang menjejaskan aktiviti harian anda. Sediakan aktiviti yang memerlukan pemantauan minima seperti melukis, mewarna atau membuat kraft bagi menghilangkan bosan dan mengurangkan interaksi mereka dengan gajet. Keluarkan buku dari perpustakaan mini anda di rumah atau permainan mesra keluarga seperti Monopoli, Cluedo, Jenga dan sebagainya. Bagi aspek pembelajaran pula, wujudkan jadual home schooling atau online tutoring supaya anak-anak yang bersekolah masih boleh mengulang kaji pelajaran sepanjang tempoh penutupan sekolah.
4.Badan cergas, otak cerdas!
Berkurung di rumah tidak bermakna anda tidak boleh mengeluarkan peluh. Lakukan senaman ringan setiap hari selama 10-20 minit seperti zumba dan senaman aerobik sebelum memulakan hari anda dengan badan yang cergas. Elakkan duduk terlalu lama dalam satu posisi sahaja, sebaliknya anda perlu bergerak ke ruangan di rumah yang lain setiap 2 jam bagi memastikan otak anda kekal alert dengan situasi sekeliling. Mengemas rumah adalah salah satu aktiviti yang amat disyorkan untuk mengeluarkan peluh.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda sedang bekerja dari rumah, pastikan anda hadkan waktu membuat aktiviti sampingan supaya dapat kekal fokus dengan tugasan hakiki dalam waktu bekerja.
5. Teruskan komunikasi di sosial media untuk hidup yang kekal positif, tetapi berhati-hatilah
Apabila wabak SARS berlaku pada tahun 2002, Facebook, Twitter, dan Myspace masih belum wujud. Sekarang, orang jauh dapat berhubung secara digital, dan keupayaan untuk terus berhubung dengan media sosial boleh memberi manfaat terutamanya kepada kesihatan mental semasa tempoh berkurung. Jika seseorang yang anda kenal dikuarantin, atau dijangkiti virus, cuba berhubung dengan mereka sebanyak mungkin dengan cara yang tidak mendatangkan risiko kepada anda. Komunikasi yang berterusan adalah satu bentuk sokongan moral yang sangat membantu.
Tetapi komunikasi secara digital juga mencipta isu-isu yang tidak wujud dulu – iaitu penyebaran maklumat salah. Jadi, anda harus sentiasa tapis informasi yang anda dapat dengan bijak. Pastikan dahulu sumber maklumat dengan merujuk kepada pihak berkuasa untuk mengetahui kesahihan berita.
6. Pastikan kecukupan barang dalam komuniti, bukan dalam rumah anda sahaja
Dalam tempoh kawalan pergerakan, anda masih memerlukan manusia lain untuk terus hidup. Hakikat ini tertakluk bukan sahaja dalam situasi kecemasan tetapi ketika tempoh berjaga-jaga. Sekiranya sekarang anda lihat orang ramai sibuk mencukupkan bekalan barang makanan dan keperluan rumah masing-masing, anda sebagai ahli komuniti yang prihatin boleh mulakan cadangan untuk memaklumkan kejiranan anda apa yang boleh dikongsikan bersama kerana tidak semua orang berkesempatan atau mampu untuk membuat pembelian makanan atau ubat-ubatan secara mengejut pada ketika krisis diumumkan. Jadi ketika inilah anda dan jiran-jiran dapat memupuk hubungan yang lebih mesra dan ikhlas dalam membantu antara satu sama lain.
MAPIM Malaysia juga menyeru agar semua mengambil langkah seperti yang diumumkan oleh pihak berkuasa dan tidak mengambil ringan tentang risiko wabak COVID-19. Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan untuk sentiasa utamakan keberadaan di rumah.