TUMPAT: Tiada apa yang diharap oleh Zauyah Deraman, 36, melainkan tindakan sewajarnya daripada kerajaan untuk segera mengatasi masalah banjir yang saban tahun melanda negeri di pantai timur terutamanya Kelantan.
Dia yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal, berkata tidak sanggup lagi melihat rumah dan barangan peribadinya rosak sehingga perlu dibuang setiap kali banjir melanda.
“Orang yang tak pernah kena banjir tak tahu perasaan kami yang setiap tahun jadi mangsa. Sedih apabila lihat banyak barang rosak dan setiap tahun nak kena beli barang baharu“, katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Ana, di Tumpat pada Isnin.
Zauyah yang tinggal berdua bersama ibunya, Fatimah Yusof, 74, berkata banjir kali ini adalah paling teruk pernah dialami apabila paras air di dalam rumah mencecah hingga 0.7 meter.
Menurutnya air mula melimpah masuk ke pekarangan rumahnya pada petang Isnin lepas (19 Dis) dan naik mendadak menjelang malam menyebabkan dia segera meminta bantuan daripada rakannya untuk mengalihkan perabot ke tempat yang dirasakan selamat.
“Kami ingat sudah letak di tempat selamat, rupa-rupanya banjir kali ini lebih tinggi daripada yang berlaku bulan Mac lepas”, katanya.
Situasi tersebut memaksa dia dan ibunya berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat selama enam hari dan hanya pulang ke rumah dua hari lepas.
“Terkejut juga lihat keadaan dalam rumah yang agak huru-hara dengan perabot masih ditenggelami air. Selain itu, dinding rumah turut rosak dan lantai pula reput akibat terlalu lama terendam dalam air, tambah menyedihkan apabila melihat mesin basuh serta peti ais juga rosak”, katanya.
Menurut Zauyah dengan keadaan dirinya yang cacat kedua-dua tangan dan kaki serta ibu yang uzur, memang mustahil untuk mereka mencuci pakaian dengan tangan.
Sehubungan itu, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi menyumbang mesin basuh baharu kepadanya.
Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa syukur apabila ada pihak yang prihatin tampil membantu membersihkan rumahnya semalam.
“Jika tiada yang membantu bersihkan rumah memang kami terpaksa tidur dalam selut“, katanya sambil menjelaskan adik-beradiknya yang lain tinggal di luar Kelantan dan ada yang turut terjejas banjir. – BERNAMA
BACA JUGA
MAPIM Rangers gembleng tenaga bantu mangsa banjir di Tumpat
MAPIM Malaysia Melancarkan Tabung Kecemasan Bencana Banjir Pantai Timur
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan musibah banjir serta menyokong kelangsungan misi bantuan kemanusiaan kami.
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066
atau klik ke www.bantuummah.com
HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038