PUTRAJAYA : Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) zahir rasa simpati terhadap rakyat dan kerajaan Malaysia atas bencana banjir terburuk melanda negara ini sejak Sabtu lalu.
Setiausaha Agungnya, Hissein Brahim Taha berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa malapetaka itu yang disifatkan paling teruk dalam tempoh beberapa dekad.
“Kami memohon kepada Allah agar mereka yang maut dirahmati Ilahi manakala yang terjejas akan dapat pulih semula sepenuhnya,” kata menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lebih lanjut, Hissein yang juga diplomat dan bekas Menteri Luar Chad berkata, OIC mengambil cakna serta prihatin dengan perkembangan banjir di Malaysia lebih lima hari lalu.
“Kami berdoa ke hadrat Allah supaya Malaysia dapat diselamatkan dan rakyatnya kembali terhindar daripada kemudaratan akibat bencana alam yang amat dahsyat tersebut,” katanya.