DuniaSemasa

OIC tawarkan bantuan keamanan kepada Afghanistan

JEDDAH : Sebanyak 57 negara anggota utama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkumpul bagi menyatakan komitmen terhadap krisis rampasan kuasa di  Afghanistan baru-baru ini dan mendesak pimpinan baharu untuk mengekalkan perdamaian dan mematuhi piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laporan siaran berita Al-Hadath, wakil anggota OIC, Dr. Shafiq Samim, berkata, OIC memandang jauh terhadap  pimpinan baharu Taliban dan optimis dengan perubahan  yang bakal dibawa.

“Perang telah tamat dan tiada lagi pertumpahan darah setelah 20 tahun. Keamanan dan kestabilan kini kembali ke negara ini. Sejak (pengambilalihan) Taliban, kami belum pernah mendengar suara peluru di ibu kota.”

“Perjumpaan ini adalah untuk membincangkan isu bantuan kemanusiaan, terutamanya di kawasan-kawasan perang sekitar Afghanistan.”

“Kami meminta perlindungan dan penghormatan hak untuk hidup serta keselamatan rakyat Afghanistan bertepatan dengan perjanjian hak asasi manusia antarabangsa.” katanya.

Tambah beliau, ini merupakan kali pertama rampasan kuasa terjadi tanpa sebarang kekacauan dan peperangan serta halangan besar dari pihak-pihak tertentu.

Dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung OIC, Dr. Yousef Al-Othaimeen, turut mengetengahkan isu bantuan kemanusiaan, membawa keamanan serta kestabilan dan pembangunan semula Afghanistan.

Sebagai pengerusi perbincangan OIC yang diadakan di ibu pejabat Sekretariat Jeneral yang berpusat di Jeddah, wakil tetap Arab Saudi, Dr. Saleh Hamad Al-Suhaibani, mengulangi sokongan kerajaan Arab  Saudi untuk rakyat Afghanistan.

Beliau turut meminta semua negara anggota untuk mendukung sepenuhnya rakyat Afghanistan dan pilihan yang mereka tentukan tanpa campur tangan luar.

“Arab Saudi memperbaharui kedudukan sejarahnya yang tegas dalam mendukung keamanan, kestabilan, solidariti dan kesatuan di Afghanistan. Dalam hal ini, Arab Saudi ingin menggesa Taliban dan semua pihak Afghanistan berusaha menjaga keselamatan dan kestabilan serta memelihara jiwa dan harta benda di negara itu,” katanya.

Sementara itu, Dr. Yousef memberi amaran bahawa masyarakat antarabangsa dan parti pemerintah mesti bekerjasama untuk memastikan bahawa Afghanistan tidak digunakan sebagai tempat perlindungan kumpulan pengganas.

 

Agensi

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

 

 

Related Articles

Back to top button