New Zealand rekod kes pertama Covid-19 dalam tempoh enam bulan
WELLINGTON : New Zealand merekodkan kes pertama Covid-19 dalam komuniti dalam jangka masa enam bulan selepas seorang disahkan positif virus itu di bandar terbesar mereka, Auckland.
Menurut Kementerian Kesihatan, kaitan kes itu dengan penutupan sempadan belum lagi disahkan dan masih lagi dalam siasatan.
Kes jangkitan terakhir dilaporkan adalah pada Februari awal tahun ini.
Unit Kesihatan Awam Wilayah Auckland sedang melakukan wawancara bersama individu yang dijangkiti untuk mengetahui kontak rapat pesakit, kata kenyataan itu.
“Sesiapa di Auckland yang menggunakan pengangkutan awam atau tidak menjaga penjarakan sosial di tempat awam perlu memakai topeng pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.
“Pihak kementerian akan mengadakan mesyuarat selepas maklumat lanjut telah disahkan,” katanya.
Tindak balas keras New Zealand terhadap pandemik ini telah membantu mereka untuk menghapuskan jangkitan Covid-19 di negara mereka yang membolehkan rakyat mereka hidup tanpa sekatan, walaupun sempadan antarabangsa masih ditutup.
Negara itu telah merekodkan 2,500 positif virus tersebut dan 26 kematian.
-AGENSI
Diterjemah oleh Hafeez Anuar