Semasa

Agong zahir ucapan Selamat Ulang Tahun ATM ke-89

KUALA LUMPUR : KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-89 kepada seluruh warga angkatan tentera, para veteran angkatan tentera dan semua yang pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang dicintai bersama ini.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira ATM yang telah terkorban semasa bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Memetik catatan di Facebook rasmi Angkatan Tentera Malaysia, tarikh 16 September hari ini merupakan sambutan ulang tahun ATM yang ke-89 yang bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’.

Menurutnya, ia jelas membawa erti bahawa pentingnya kerjasama antara ATM dan Rakyat dalam memikul amanah secara bersama dalam usaha untuk mengekalkan kesejahteraan dan keselamatan demi kepentingan Negara tercinta.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button