Inspirasi

Nekad meninggalkan jawatan tetap demi keluarga

Siri Inspirasi Ummah - sebuah kisah cinta jarak jauh

Perhubungan jarak jauh atau PJJ bukan sekadar berkenaan setia. Ia juga tentang kehadiran dan tanggungjawab. Ini yang lelaki ini sangat sedari.

Bekerja di sebuah agensi dengan gaji yang lumayan bukanlah jaminan untuk ketenangan hati. Lalu lelaki ini sanggup meninggalkan jawatan bergaji lumayan, balik ke kampung untuk bersama dengan keluarga.

Mengapa tidak isteri sahaja yang ke ibu kota? Lelaki ini ada jawapannnya. Inilah cerita MK Riza.

MK Riza

Nama penuhnya, Mohd Khairul Riza bin Tuan Mohd Yusop. Seorang anak kampung yang sejati. Nun jauh di pedalaman hulu Perak, Kampung Sungai Jernih, Ijok Batu Kurau (popular dengan durian). Sebagai anak kampung kehidupan tentunya tidak senang. Ayah membuat bermacam-macam kerja, daripada bertukang rumah, menoreh getah, menanam padi, sehingga masuk ke dalam hutan mencari hasil hutan terutama rotan.

Menolong abah di perbukitan semasa musim durian

Sehingga MK Riza memperoleh quote terbaik dalam hidup bukan dalam bentuk kata-kata, tetapi pengalaman itu sendiri. Pengalaman bersama ayah yang tidak banyak bercakap, senyap.

Suatu hari ayah mengajaknya masuk ke hutan mencari rotan. Dia merasakan dirinya hanya sekadar peneman kerana dia bertubuh kecil. Tentu sahaja tidak banyak yang boleh diharapkan untuk kerja-kerja fizikal.

Sedangkan mencari rotan ini sukar. Perlu masuk hutan dan berjalan jauh ke tengahnya. Apabila bertemu pokok rotan perlu pula bersusah payah mengambil rotan yang berduri dan menjalar di pokok lain. Kemudian harus kuat untuk mengheret rotan yang panjang itu keluar dari hutan.

Apabila keluar dari hutan, rotan dipotong mengikut saiz dan diletakkan di atas motor untuk dijual. Kerja yang memakan masa seharian dan begitu penat itu hanya memberi pulangan belasan ringgit. Ya, belasan ringgit.

Peristiwa itu memberikan kesan kepada dia bahawa, ‘kami susah dan saya perlu keluar daripada kesusahan’.

Tindakan ayah yang membawanya mencari rotan adalah suatu pengajaran. Tidak perlu banyak bicara untuk memberikan inspirasi atau teladan. Tunjuk sahaja dengan perbuatan. Akan diingati sampai mati.

Berkat kerja keras, akhirnya MK Riza memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Media) UM. Dia antara orang yang beruntung kerana dapat bekerja dalam bidang yang dia pelajari di universiti. Selepas belajar di universiti terus jadi editor buku sampai sekarang.

MK Riza kemudiannya bertemu jodoh dengan seorang guru. Jodoh yang sepatutnya mendekatkan, kini terbalik menjadi menjauhkan. Isteri terpaksa bertugas di Perak, manakala dia pula di Kuala Lumpur. Pada mulanya demi kelangsungan ekonomi keluarga, dia bertahan untuk PJJ.

Bersama isteri, Cikgu Iman Yalin

Walau berat namun terpaksa. Sehinggalah anak sudah empat. Katanya,

“Saya berhenti kerja daripada ITBM setelah berasakan saya perlu berbuat sesuatu memandangkan anak dan isteri saya di Taiping dan saya di Kuala Lumpur. Setiap minggu saya akan pulang. Ini menjejaskan perbelanjaan dan juga kerjaya saya.

Saya juga tidak mahu isteri yang bertugas sebagai guru bertukar ke Kuala Lumpur. Bimbang pengaruh dan suasana di Kuala Lumpur kepada anak-anak, tambahan pula saya yakin tempat isteri bertugas di kampung dan di sekolah agama adalah sangat bersesuaian.

Perkahwinan jarak jauh ini juga meresahkan saya.

Pernah isteri tumpah darah semasa mengandung anak pertama. Hanya kawan dan jiran yang membantu. Pada waktu itu saya di dalam bas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Apabila saya tahu kejadian yang menimpa isteri, sampai sahaja di Pudu Raya, saya patah balik ke Taiping. Bayangkan betapa libang-libunya hati saya.

Setelah ada anak, suasana sedih yang perlu diharungi semakin kerap berlaku. Anak sulung kerap menangis pada waktu malam. Isteri pula hanya berdua dengan anak. Tiada sesiapa bersama. Hanya pertolongan jiran diharapkan dan pastinya kepada Allah.

Apabila isteri menghantar saya menaiki bas untuk pulang ke ibu kota mencari rezeki, anak akan menangis melihat saya di tingkap bas. Tangisan yang panjang membawa ke malam dan kadang kala menjadi demam.

Saya sebak dan kasihan kepada isteri kerana tidak dapat bersamanya mengharungi semua ini.

Setelah mengambil kira perkara ini dan selepas anak bertambah kepada tiga (pada masa itu) saya berasakan wajar untuk meletak jawatan di ITBM dan pulang untuk bersama-sama isteri.

Bersama keluarga

“Lagipun saya percaya, hidup ini bukan untuk impian kita sahaja. Hidup kita adalah untuk kisah sayang dan kebertanggungjawaban.”

Setelah tiada kerja, tentu sahaja saya tertekan dan bingung. Tambahan pula saya perlu menetap di kampung tempat isteri bertugas yang saya tidak kenal sesiapa lagi.

Bagaimana hendak menyesuaikan diri tanpa pekerjaan sedangkan sayalah ketua keluarga?

Benarlah, rezeki itu tidak salah alamat. Berkat berkorban untuk bersama keluarga, Allah ilhamkan saya untuk membuat kerja yang saya boleh buat dengan baik, buat dengan hati yang tenang. Saya mula menulis. Betullah menulis ini terapi dan juga rezeki.

 

Bersama penulis yang memenangi Sayembara Penulisan Novel Kanak-kanak dan Remaja 2019
Sebahagian hasil karya
Semasa Program Jelajah Blink di sebuah sekolah di Taiping

Mujur kawan-kawan juga ada memberikan saya ‘job editing’, dan dari situlah bermulanya kerjaya saya sebagai penulis dan editor bebas. Mula-mula memang payah, lama kelamaan ia semakin senang. Saya semakin gembira dan anak isteri juga semakin bahagia.

Saya juga kuat untuk berhenti kerja kerana mahu menunaikan tugas sebagai anak sulong. Sekurang-kurangnya tinggal dalam daerah yang sama memampukan saya menjenguk abah emak yang semakin berumur. Banyak yang boleh dibantu. Insya-Allah.”

Inilah kisah cinta jarak jauh MK Riza, perlu sesuatu untuk dikorbankan agar ia menjadi dekat. Namun pada akhirnya kebersamaan itu akan memberikan sesuatu yang tidak dapat dinilai oleh apapun.

Untuk yang mahu khidmat suntingan dan penulisan boleh hubungi Tuan MK Riza di Facebook beliau.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button