Covid19HiburanSemasa

Neelofa, keluarga dikompaun RM60,000

Gagal ikut SOP

KUALA LUMPUR: Usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa dan suaminya, Haris Ismail  masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa majlis perkahwinannya serta rentas negeri.

Neelofa telah dikenakan kompaun yang tidak dibenarkan diskaun kerana telah melakukan dua kesalahan manakala suaminya, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz melakukan satu kesalahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kesalahan pertama dilakukan Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan yang telah diberitahu oleh Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP dalam penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung

Manakala kompaun RM10,000 lagi dikenakan ke atas beliau kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

“Kompaun berkenaan telah dikenakan ke atas keluarga berkenaan di bawah 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau juga berkata, suami kepada Neelofa, Muhammad Haris turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 (juga tiada diskaun dibenarkan) kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2)(d) Peraturan-Peraturan yang sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Sementara itu, seramai 20 ahli keluarga kedua-dua pasangan itu dikenakan RM1,500 seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000

Kesemua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun pada hari ini, jelas Mohamad Zainal.
Sehubungan itu, PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi pelaksanaan PKPB agar tidak mahu dikompaun.
“Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” tegasnya.

Oleh : Arif Ikhwan – Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM 

Related Articles

Back to top button