Semasa

Nasib pelajar Palestin – perjalanan menakutkan ke sekolah

LUBAN ASH-SHARQIYA : Pergi dan balik sekolah adalah kenangan zaman sekolah yang menyeronokkan untuk disimpan.

Namun ia tidak terjadi untuk anak-anak remaja di Luban Ash-Sharqiya, sedaya upaya menghindari daripada terserempak dengan tentera Israel ketika pergi dan pulang dari sekolah. Ia adalah pengalaman yang sangat menakutkan.

Pasukan tentera Israel ditempatkan di pintu masuk kampung berhampiran jalan raya utama antara Ramallah dan Nablus.

Setiap hari, tentera Israel akan melakukan rondaan di kawasan berdekatan menyebabkan pelajar Luban berusaha mencari jalan alternatif bagi mengelak terserempak dengan tentera Israel.

“Setiap hari, saya membawa anak saya pergi dan pulang sekolah kerana saya takut tentera akan mencederakannya atau menangkapnya,” kata Maoud Awais kepada Al Jazeera.

Mahmoud, anak lelakinya yang berusia 11 tahun, mengakui bahawa dia takut kepada tentera Israel kerana sebelum ini dia menyaksikan rakan-rakannya diancam oleh tentera.

Tentera Israel akan mengawasi jalan utama di wilayah pertanian, dan pelajar sekolah akan melalui ladang desa untuk sampai ke rumah.

“Tentera sering mengancam pelajar dengan bersiul, menjerit, dan datang ke arah mereka bagi menggeledah beg sekolah. Mereka juga pernah menuduh pelajar-pelajar itu melemparkan batu pada kereta tentera,” kata seorang penduduk tempatan, Falastin Noubani, kepada Al Jazeera.

Nidal Safadi, seorang penduduk Palestin, dibunuh pada bulan Mei ketika tentera Israel menyerbu kediamannya dengan menembaknya sebanyak empat kali. Berikutan serangan itu, berlaku pergaduhan antara penduduk tempatan dan tentera.

Pengalaman mengerikan itu membuatkan kanak-kanak Palestin trauma untuk pulang dan pergi dari sekolah.

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button