Mukbang hukumnya harus, tetapi perlulah beradab
Mukbang merupakan gabungan daripada dua perkataan bahasa Korea iaitu 먹는; meongneun yang bermaksud makan dan 방송 bangsong bermaksud penyiaran siaran langsung dalam talian.
Sudah ramai pempengaruh di luar dan dalam negara menjadikan ia sebagai ‘content’ dengan memakan makanan pelbagai jenis sambil berinteraksi dengan para penonton. Fenomena ini mula terkenal serata Korea Selatan pada tahun 2010.
Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya kerana ia tidak bertentangan dengan prinsip hukum syarak.
Namun, ia perlulah dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam.
“Antaranya makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak pula makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, di samping menghidupkan sunnah-sunnah dan adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW,” menurut penjelasan tersebut.
Namun, sekiranya diperhatikan, terdapat segelintir masyarakat yang dilihat melakukan aktiviti ini dengan cara yang bertentangan dengan adab makan dan minum dalam Islam.
Ia turut menjelaskan beberapa perkara yang sering dilakukan oleh mereka yang melaksanakan mukbang ini antaranya adalah memakan makanan yang kotor dan tidak bersih.
Seterusnya, terdapat juga sebahagian pelaku video mukbang mengambil jumlah makanan atau minuman dengan kuantiti yang sangat banyak, bahkan terkadang sehingga membawa kepada rasa sakit dan muntah akibat ingin menyelesaikan cabaran yang diminta oleh penonton misalnya.
Oleh yang demikian, kita dapat melihat bahawa kenyang yang berlebihan amatlah tidak baik, malah membawa ancaman pula ke atas tubuh badan dan akal fikiran. Bukan itu sahaja, bertitik tolak daripada noktah kedua ini juga, terkait juga dengan perkara yang ketiga iaitu berlakunya pembaziran.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾
Al-Isra’, 17:26-27
Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Perbuatan makan dengan cepat atau gelojoh ini seringkali dilihat dilakukan oleh kebanyakan pelaku video mukbang atas sebab mengejar masa atau menyahut cabaran yang diberi oleh para penonton.
Walhal, perbuatan ini amatlah tidak baik dan mesti dihindari oleh kerana boleh mendatangkan pelbagai risiko pada tubuh badan seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan bermacam lagi.
Kadangkala berlaku juga beberapa pelaku mukbang yang tampil dan makan dengan menggunakan tangan kiri, walhal Islam mengajar umatnya agar makan dengan tangan kanan.