Monsun Timur Laut: Lebih 20,000 anggota bomba bersiap sedia
KUALA LUMPUR: Sebanyak 24,283 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) siap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut dijangka berlaku pada November ini hingga Mac 2024.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Ahmad Irzam Osman berkata kesiapsiagaan anggota melibatkan latihan pengukuhan pengendalian bot, latihan pasukan penyelamat di air dan kemahiran Swift Water Rescue.
”Selain itu, pemeriksaan aset seperti bot penyelamat dan peralatan marin turut dilakukan bagi memastikan aset berada dalam keadaan baik.
“Cuti bagi anggota juga akan dibekukan mengikut keperluan dan waktu bekerja giliran pegawai dan anggota akan ditukar daripada 12 jam kepada 24 jam bergantung kepada keadaan semasa bagi memastikan keanggotaan operasi di lapangan mencukupi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ahmad Izram berkata JBPM sebelum ini telah mengenal pasti 4,795 lokasi berisiko banjir di seluruh negara dengan Sarawak mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 1,034 lokasi diikuti Kelantan (595), Pahang (554), Sabah (520), Johor (432), Selangor (307).
Selain itu, sebanyak 281 lokasi dikenal pasti di Pulau Pinang, Perak (265), Terengganu (262), Kedah (228), Melaka (124), Negeri Sembilan (92), Kuala Lumpur (35) dan Wilayah Persekutuan Labuan (18).
Sementara itu, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata hanya 20 peratus daripada 900 anggota di negeri itu dibenarkan untuk mengambil cuti bergantung kepada situasi semasa bagi menghadapi fasa Monsun Timur Laut.
“Pada dasarnya aset di Pahang mencukupi dan jika berlaku banjir besar contohnya pada 2020 dan 2021, kita akan menggunakan aset dari negeri lain yang tidak terjejas dengan banjir,” katanya.
Selain itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata 1,250 anggota berada dalam keadaan siap siaga dan tindakan membekukan cuti akan dilaksanakan sekiranya berlaku situasi banjir luar biasa pada musim tengkujuh kali ini.
”Setakat ini aset di Kelantan mencukupi dan berada dalam keadaan baik bagi membantu misi menyelamat…kita ada 11 lori lima tan, 60 bot pelbagai jenis seperti fiber dan aluminium dan 40 kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Mohd Wildan turut menasihati orang ramai untuk sentiasa peka dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun dengan mengetahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku kecemasan dan dokumen penting berada dalam keadaan selamat.
SUMBER: BERNAMA