Monsun Barat Daya dijangka bermula 14 Mei ini
KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan monsun Barat Daya bakal berlaku pada Sabtu (14 Mei) dan akan berlarutan sehingga pertengahan September tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang stabil sepanjang tempoh ini.
“Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain berikutan kurangnya pembentukan awam hujan serta menghasilkan taburan hujan yang rendah,” katanya.
Beliau juga berkata pantai barat Semenanjung dan barat Sabah berkemungkinan dilanda hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) yang berlaku di pada awal pagi dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
Dalam pada itu, jika aktiviti pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa Ogos hingga Oktober kebarangkalian fenomena jerebu juga boleh berlaku.
Mengulas lanjut, maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan hubungi hotline Jabatan Meteorologi Malaysia di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.