Mobile Clinic MAIWP-MAPIM santuni kariah Masjid Jamek Alam Shah
Oleh : Khai – Wartawan Pelatih Ummah Today
KUALA LUMPUR: Program Mobile Clinic Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mencatatkan seramai 125 orang pengunjung untuk hari pertama di Masjid Jamek Alam Shah & Maahad Miftahil Jannah yang berlangsung pada Khamis dan Jumaat.
Seramai 70 pesakit menerima pemeriksaan kesihatan di Masjid Alam Shah manakala 55 pesakit di Maahad Miftahil Jannah.
Program ini berlangsung selama dua hari ini sehingga Jumaat 7 Oktober, bermula dari 10 pagi hingga 3 petang.
Pesakit yang hadir memberi reaksi yang positif dan baik tentang pemeriksaan kesihatan percuma yang dijalankan melalui program ini.
“Alhamdulillah, saya tidak perlu lagi beratur panjang untuk ke klinik kerana adanya program percuma sebegini”, kata Mohamad Nasir, 58, pesakit yang hadir di sini.
Muhd Kamal, 60, bekas penghidap strok turut hadir untuk menerima pemeriksaan kesihatan.
“Rata-rata kami bukan orang kaya yang mampu pergi ke klinik swasta dan program ini bagus diwujudkan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau juga memuji sikap sukarelawan yang komited dan doktor yang prihatin.
Dr Sheikh Zainal yang memberi tazkirah meluahkan perasaan gembira kepada program setelah selesai pemeriksaan kesihatan.
“Alhamdulillah saya berterima kasih kerana mereka memberi khidmat yang terbaik semasa melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendoakan kesihatan yang baik untuk staf yang bertugas,” kata beliau.
Imam Hanif, ahli jawatankuasa Masjid Jamek Alam Shah juga meluahkan rasa syukur tentang wujudnya program ini.
“Saya rasa bersyukur kerana program ini dapat sambutan yang baik dan dapat membantu golongan B40 dan penduduk PPR di sekitar kawasan masjid ini.”
Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih dan berbesar hati untuk berjumpa lagi di program Mobile Clinic pada masa akan datang.