MMK Pahang setuju warta Hutan Simpan Sungai Lembing, elak pencerobohan
KUANTAN: Tanah milik kerajaan seluas 38.68 hektar dekat Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing, Mukim Hulu Kuantan, dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Sungai Lembing.
Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata MMK bersetuju untuk mewartakan tanah itu, hasil mesyuarat pada 26 Januari lalu sebagai hutan simpan kekal bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.
Beliau berkata, Hutan Simpan Sungai Lembing yang kedudukannya berbukit terbahagi kepada dua plot, iaitu A dan B yang masing-masing seluas 15.98 hektar serta 22.7 hektar.
“Pada mesyuarat MMK terbabit, semua pihak bersetuju untuk menolak mana-mana permohonan yang berlapis dengan kawasan dimohon itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau mengulas operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijadualkan berlangsung selama seminggu bermula kelmarin di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang.
Media sebelum ini melaporkan pintu pagar elektrik untuk masuk ke ladang durian Musang King yang ditanam secara haram di atas tanah kawasan hutan milik kerajaan di Sungai Lembing, terpaksa dipecahkan oleh pasukan lebih 100 penguat kuasa yang melaksanakan operasi bersepadu.
Dalam operasi bermula jam 10 pagi di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang, Sungai Lembing itu, lebih 200 pokok durian Musang King berusia antara empat hingga lima tahun dimusnahkan selama tempoh masa empat jam.
Mengulas lanjut, Mohd Hizamri berkata, JPNP berkuasa terhadap pewartaan itu untuk menyelia serta menguruskan kawasan terbabit daripada dicerobohi sebarang aktiviti tanpa kebenaran, malah individu yang berada di dalam kawasan terbabit tanpa permit juga boleh didakwa.
Katanya, dalam usaha memulihara Hutan Simpan Sungai Lembing, pihak jabatan akan menanam 3,000 pokok balak berkualiti tinggi di kawasan bekas ladang durian itu.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today