KUALA LUMPUR : Sudah hampir lebih sebulan Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) berada di Kaherah Mesir. Tujuan utama misi tersebut bagi memasuki wilayah Palestin masih belum berhasil.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati pasukan misi yang diketuai oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), juga Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, supaya kembali dahulu ke Malaysia memandangkan keadaan di Gaza masih belum stabil.
Ismail Sabri memberikan nasihat semasa video konferensi bersama pasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin itu, semalam.
“InsyaAllah jika keadaan stabil mereka boleh ke Gaza semula. Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi, setiap orang ada pengorbanannya, di dalam pengorbanan juga pasti ada ujiannya. Tetapi Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan.
“Semoga setiap usaha dan pengorbanan itu dijadikan asbab kebahagiaan yang dapat untuk semua,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Misi HM4P bermula 19 Jun lepas dengan objektif menunjukkan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel pada Mei lepas.
Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lepas menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin termasuk 66 kanak-kanak. – Bernama