DUNGUN : Misi Bantuan Banjir Pantai Timur yang digerakkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) masih belum berakhir, selepas negeri Kelantan, hari ini mereka tiba ke negeri Terengganu bagi meneruskan misi kemanusiaan mereka.
Berdasarkan tinjauan, kawasan yang teruk terkesan adalah Kampung Kuala Jengai, di mana terjadinya insiden tanah runtuh sehingga menyebabkan dua jalan utama untuk ke kampung itu ditutup, dan kini hanya satu jalan sahaja yang boleh digunakan.
Air limpahan dari sungai berdekatan Kampung Pasir Raja telah menyebabkan tiga kampung berdekatan telah ditenggelami air iaitu Kampung Pasir Raja, Kampung Kuala Jengai, Kampung Shukor.
Mangsa banjir di kawasan tersebut boleh menarik sedikit nafas lega selepas ketibaan kontena MAPIM Malaysia seawal jam 9 pagi tadi di Paka, Terengganu yang membawa sebanyak 1,000 kotak bantuan makanan.
Menurut Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, PPj Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol objektif mereka ke bumi Terengganu ini adalah membantu mereka yang terjejas akibat banjir terutamanya di kawasan Dungun.
“Pihak MAPIM bersama dengan MAPIM Rangers dan juga disertai oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berganding bahu dalam menjayakan Misi Jelajah Pantai Timur Edisi Khas Banjir dalam berkhidmat bagi menghulur bantuan kepada mereka yang terjejas akibat banjir. Sebaik sahaja mendapat tahu mengenai bencana yang melanda Pantai Timur baru-baru ini, kami terus bersiap siaga dan melakukan persiapan sepenuhnya untuk turun padang meninjau lokasi yang terkesan dan menyampaikan bantuan berbentuk kotak makanan serta barangan keperluan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa mereka sudah dalam keadaan siaga bagi menghantar bantuan ke kawasan di Lembah Klang yang dikhuatiri akan sekali lagi dilanda bah besar ekoran ramalan hujan lebat yang akan melanda.
“MAPIM Malaysia sudah membuat perancangan dan sentiasa bersedia untuk hantar bantuan ke Lembah Klang selepas tamatnya Misi Pantai Timur ini, untuk makluman sudah ada aktivis sukarelawan yang mewakili MAPIM yang sentiasa akan bersiap sedia dibantu oleh MAPIM Rangers untuk menggerakkan anggota.