Misi Aytam Afghan MAPIM bela nasib anak-anak yatim Afghanistan
SHAH ALAM : Sudah puluhan tahun rakyat Afghanistan hidup dalam kesengsaraan akibat peperangan yang telah mengorbankan ribuan nyawa. Kesengsaraan itu ditambah dengan krisis ekonomi dan pandemik yang memuncak.
Situasi tersebut telah menyebabkan empat per 10 anak-anak yatim di sana terpaksa dihantar untuk tinggal bersama sanak-saudara dan ribuan lain dihantar ke tempat perlindungan.
Melihat situasi itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah melancarkan Misi Aytam Afghan dengan objektif untuk membela anak-anak yatim di Afghanistan dan mendapatkan penaja bagi membantu dalam pendidikan, makanan dan pakaian mereka.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Azmi menegaskan bahawa rakyat di negara itu sedang melalui era getir pasca pandemik dengan kemiskinan, konflik dan bencana alam.
“Saya ada tujuh orang anak dan 11 cucu, setiap hari mereka boleh bergelak ketawa, makan dengan senang, pergi ke sekolah, namun saya tidak dapat bayangkan anak-anak yatim di Afghanistan sering memikirkan “bolehkah aku teruskan hidup esok?”.
“Sumbangan dan tajaan anda bukan sahaja dapat mengurangkan kelaparan dan memberikan senyuman kepada anak-anak yatim Aytam Afghan, malah membuka ruang untuk masa depan mereka yang lebih cerah seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Pelaksanaan misi ini merupakan kerjasama bersama Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, International Relief and Humanitarian Outreach serta MyChild International.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek ini menawarkan mana-mana individu, organisasi, yayasan dan institusi yang berhasrat untuk menaja sejumlah RM1,800 untuk tempoh satu tahun bermula 15 Ogos ini.
Tajaan tersebut akan membantu daripada segi pakaian seragam sekolah rasmi untuk kegunaan satu tahun, makan tengah hari berkhasiat disediakan setiap hari.
Selain itu, mereka juga akan menerima satu set buku untuk setiap pelajar bagi kegunaan sepanjang tahun, kerusi sekolah, kelas pembelajaran lengkap dan sempurna dan juga pakej makanan.