MetMalaysia keluarkan ramalan cuaca signifikan sehingga 18 Disember
KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan ramalan cuaca signifikan bermula hari ini sehingga Sabtu (18 Disember 2021).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MetMalaysia menerusi hantaran Facebook rasmi, sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk diperairan barat Sarawak dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dijangka berlaku esok.
Sementara itu, sistem ini dijangka merentasi kawasan utara semenanjung menuju ke Laut Andaman pada Jumaat (17 Disember).
Sehubungan itu, keadaan ini mampu menghasilkan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan sehingga berpotensi mengakibatkan banjir terutamanya di negeri-negeri pantai timur dan utara semenanjung.
Negeri yang berisiko banjir antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Bagaimanapun, MetMalaysia memaklumkan di Sabah sistem cuaca tekanan rendah yang kini berada di Tenggara Filipina dijangka merentasi perairan utara Sabah bermula 16 Disember sehingga 18 Disember 2021.
Oleh itu, MetMalaysia menasihati orang awam di kawasan yang terlibat untuk lebih peka dan berwaspada.
Maklumat lanjut mengenai laporan ramalan cuaca boleh diperoleh menerusi laman web http://www.met.gov.my/ atau Facebook atau Twitter Metmalaysia, @malaysianmet.