RAMALLAH : Menteri Buruh Pihak Berkuasa (PA) Palestin, Nasri Abu Jaish, kekal memegang jawatannya meskipun sudah mengumumkan untuk berundur berikutan tunjuk perasaan terhadap kematian seorang aktivis dalam tahanan.
Beliau yang mewakili Parti Rakyat sayap kiri dalam kerajaan sebelum ini menyatakan pengunduran itu pada akhir Jun lalu disebabkan wujud ketirisan undang-undang dan kebebasan awam.
Penangguhan pengundurannya diumumkan berikutan penunjuk perasaan menuntut Presiden mahmud Abbas supaya meletakkan jawatan atas penangkapan dan kematian tahanan aktivis, Nizar Banat.
Dalam pada itu, Nasri dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh turut menolak dua kali pengunduran dirinya dan meminta terus memegang jawatan itu.
Banat 43 tahun merupakan wartawan yang terkenal dengan liputan video di media sosial yang mengecam dakwaan rasuah dalam PA, meninggal dunia pada 24 Jun sejurus pasukan keselamatan menceroboh rumahnya sebelum memukul dan menahannya.
PA mengumumkan pembukaan siasatan terhadap kematian Banat, tetapi para penunjuk perasaan terus memprotes beberapa minggu setelah itu.
Semalam, ratusan rakyat Palestin berkumpul di kota Ramallah, Terbing Barat bagi menggesa pengunduran Abbas, dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ketidakadilan di wilayah tersebut.
Doktor yang melakukan bedah siasat ke atas Banat, Samir Abu Zarzour, memberitahu kecederaan di badan mangsa menunjukkan dia dipukul di kepala, dada, leher, kaki dan tangan, dalam tempoh satu jam antara penangkapan dan kematiannya.
– Al Jazeera
Diterjemah oleh: Pelatih Fakulti Filem,Teater dan Animasi , UiTM -Hafiy Syazuan / AJ