NEWTOWN: Dua hari menjelang Pemilihan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dikatakan mendahului Presiden Donald Trump.
Bagaimanapun ia bukan satu jaminan Biden sudah boleh mendabik dada menewaskan Trump.
Sejarah pernah menunjukkan apa yang terjadi pada saingan tahun 2016 apabila Hillary Clinton yang menang dengan undi popular akhirnya kecundang di tangan Trump.
Apa pun, Donald Trump dan pesaingnya, Joe Biden bersama pimpinan utama mereka giat meraih undi di beberapa negeri industri penting di Midwest dan di tenggara negara itu.
Memasuki tempoh genting itu, Trump dan Biden memberi tumpuan di Pennsylvania di mana Presiden meneruskan kempennya di empat lokasi, manakala Biden dan bekas Presiden, Barack Obama akan membuat kemunculan bersama buat kali kedua.
Trump dalam ucapannya mengecam Biden dan menyifatkan pendekatan pesaingnya itu sebagai gangguan politik untuk berkhidmat kepada pengundi.
“Jika saya tidak selalu mengikut peraturan Washington dan penubuhan Washington, itu adalah kerana saya dipilih untuk memperjuangkan anda dan saya akan terus berjuang dengan lebih kuat untuk anda berbanding presiden terdahulu dalam sejarah AS.” – Joe Biden
Terdahulu, Biden yang berkempen di Wisconsin dan Mennesota, meneruskan serangannya terhadap Trump yang cuba menghapuskan dasar perlindungan kesihatan era Obama selain perubahan iklim dan dasar perdagangan dengan China.
“Kita tidak boleh menyerahkan empat tahun lagi kepada Trump. Jadi, bunyikan hon kereta anda jika mahu Amerika bangkit semula,” katanya kepada penyokong dalam satu perarakan.
Trump sebelum ini memenangi undi di negeri industri negara itu dengan kelebihan dua mata pada 2016, namun kali ini, Biden mendahului dengan hampir tujuh mata.
Kedua-dua calon presiden itu giat berkempen ketika AS menyaksikan peningkatan jangkitan COVID-19 dengan 94,000 lagi kes positif pada Jumaat menjadikan jumlah keseluruhan melepasi sembilan juta kes.
-AFP/BH/AGENSI