Mengucapkan tahmid ketika bersin dalam solat
Oleh: Amir Aiman (Wartawan Pelatih)
Bersin merupakan perbuatan yang tidak mampu dikawal oleh manusia. Bersin juga mempunyai banyak kebaikan sehingga terdapat hadis yang secara umumnya menyatakan Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana dengan bersin itu dapat mengeluarkan penyakit daripada tubuh.
Abu Hurairah ra. meriwayatkan hadis daripada baginda S.A.W. iaitu:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT menyukai bersin dan membenci menguap.
Riwayat al-Bukhari (6226)
Imam Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengemukakan pandangan Khattabi dengan menyebut bahawa maksud Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana bersin dapat meringankan badan dan membuka liang-liang roma.
Fath al-Bari, 10/607
Selain itu, nabi Muhammad S.A.W. turut menggalakkan seseorang itu apabila bersin mengucapkan kalimah Tasymit dan Tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.
Begitu juga sebaliknya apabila seseorang yang mendengar ucapan Tasymit dan Tahmid disarankan agar mengucapkan juga kalimah Tasymit dan mendoakan kebaikan kepada si pembersin. Tasymit dari segi bahasa bermaksud doa dengan kebaikan dan barakah.
Saranan ini boleh dilihat melalui hadis daripada Abu Hurairah ra. bahawa Nabi S.A.W. bersabda:
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ. وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ’. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’ maka hendaklah menyebut ‘يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ’.
Riwayat al-Bukhari (6224)
Selain itu, dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub bahawa Nabi S.A.W. bersabda:
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَلْيَقُلِ الَّذِي يَرُدُّ عَلَيْهِ يَرْحَمُكَ اللَّهُ وَلْيَقُلْ هُوَ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُم
Maksudnya: Apabila bersin salah seorang daripada kamu, maka sebutlah ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ’. Dan kemudian jawablah saudara yang mendengarinya ‘يَرْحَمُكَ اللَّهُ’. Dan hendaklah ia (orang yang bersin) membalas ‘يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُم’.
Riwayat al-Tirmizi (2960)
Kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan saranan supaya menyebut kalimah Tahmid ketika bersin dan kepada yang mendengarnya mengucapkan kalimah Tasymit iaitu mendoakan kebaikan kepada si pembersin.
Mengucapkan Tahmid Ketika Bersin dalam Solat
Pekara ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. ketika Baginda mengimamkan solat. Ia diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ Bin ‘Afra’. Kata beliau :
صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَطَسْتُ ، فَقُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَلَمَّا صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصَرَفَ ، فَقَالَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّانِيَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ أَحَدٌ ، ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ فِي الصَّلاَةِ ؟ فَقَالَ رِفَاعَةُ بْنُ رَافِعٍ ابْنُ عَفْرَاءَ : أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالَ : كَيْفَ قُلْتَ ؟ ، قَالَ : قُلْتُ : الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ ابْتَدَرَهَا بِضْعَةٌ وَثَلاَثُونَ مَلَكًا ، أَيُّهُمْ يَصْعَدُ بِهَا
Maksudnya :” Aku solat di belakang Rasulullah SAW lantas aku bersin. Maka aku mengucapkan ‘الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى’ . Apabila Rasulullah SAW selesai solat Baginda memalingkan wajah Baginda seraya bertanya: “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Tiada siapa yang menjawab. Kemudian Baginda bertanya lagi: “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Tiada siapa yang menjawab. Baginda bertanya untuk kali ketiga: “Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Rifa’ah bin Rafi’ bin ‘Afra’ menjawab: “Aku wahai Rasulullah.” Baginda bertanya: “Bagaimana engkau menyebut tadi?” Rifa’ah menjawab: “Aku menyebut: ‘الحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ ، مُبَارَكًا عَلَيْهِ ، كَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى’. Maka Nabi SAW bersabda: “Demi Tuhan yang mana nyawaku berada di tangan-Nya, sebanyak 30 lebih malaikat berbondong-bondong naik ke langit dengan ucapan tersebut.”
Riwayat al-Tirmizi (404), al-Nasaie (931), Abu Daud (773)
Terdapat beberapa pandangan ulama berkenaan hadis ini. Antaranya:
1) Imam al-Tirmizi
Di sisi sebahagian ahli ilmu hadis ini dibolehkan di dalam solat tatawwu’ kerana kebanyakan para Tabien menyebut: “Jika seseorang bersin di dalam solat fardhu maka dia dibolehkan untuk dia menyebut tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja tidak lebih dari itu.” (Jami’ al-Tirmizi, 2/165)
2) Syeikh al-Ramli
Jika seseorang bersin maka disunatkan untuk menyebut tahmid. Seakan-akan maksud pengarang adalah bermaksud mengucapkan tahmid di dalam selain al-Fatihah. Kerana jika dibaca di dalam al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah. (Nihayah al-Muhtaj, 4/150)
3) Syeikh Abdul Rahman Bin Muhammad al-Ba’lawi
Jika seseorang bersin di dalam solat maka disunnatkan untuk mengucapkan tahmid secara sirr (senyap) walaupun ketika al-Fatihah. Akan tetapi ucapan tahmid ketika al-Fatihah memutuskan muwalat maka dia perlu mengulangi bacaan al-Fatihah. (Bughyah al-Mustarsyidin, 1/90)
4) Allamah Syed al-Bakri al-Dimyati berkata:
Dan disunatkan bagi yang bersin untuk mengucapkan tahmid sekadar yang didengari oleh dirinya sahaja. Akan tetapi jika dia mengucapkannya pada pertengahan al-Fatihah ia akan memutuskan muwalat al-Fatihah. (I’anah al-Talibin, 1/256)
Kesimpulannya, adalah dibolehkan seseorang yang bersin itu mengucapkan tahmid dengan syarat tidak mengangkat suaranya sehingga mengganggu orang lain. Ucapan tersebut cukup sekadar didengari oleh dirinya sendiri.
Rujukan Portal Maktabah al-Bakri