KemanusiaanSemasa

Mengenang adik Amir

Kematian yang menghidupkan jiwa

Klip video adik Amir yang sedang mengaji (di instagram kakak angkatnya), atau nama penuhnya Zubaidi Amir Qusyairi memberikan inspirasi kepada ramai ibu bapa untuk mendidik anak yang taat dan pintar seperti itu. Malah anak-anak mereka juga ramai yang mahu menjadi seperti ‘Amir’.

Perkara yang sangat luar biasa. Bagaimana seorang anak yang umurnya baru enam tahun, dengan kematiannya, menghidupkan banyak jiwa. Jauh hari sebelum itu kita ada Arwah Ahmad Ammar yang memberi inspirasi kepada anak-anak muda seluruh dunia. Kini kita ada arwah adik Amir.

Lalu bagaimana semuanya bermula?

“Saya memang minta dengan Allah, minta nak bela anak yatim, minta nak bela anak orang susah. Bukanlah saya ini orang senang tapi memang niat saya.”

Norlida Abu Hassan memang dikenali sebagai seorang yang berhati lembut. Di rumahnya sahaja kucing belaan yang manja berkeliaran. Sebelum ini, kata anak angkat bukan hal yang luar biasa untuk Norlida yang membahasakan dirinya Umi. Sebelum ini Umi memang banyak anak angkat, namun anak angkat yang dewasa.

“Mat rempit pun ramai jadi anak angkat Umi.”

Doa Umi makbul. Amir datang hidup keluarganya semasa usia Amir dua bulan. Waktu itu ibu kandungnya masih bergelar pelajar kolej. Jodoh memang tidak kenal usia. Sangat gigih membawa anaknya ke kelas bersama. Para pesnyarah pun sangat memahami. Namun tetap hidup perlu diteruskan. Kebetulan anak Umi sama kolej dengan ibu kandung Amir akhirnya, Amir pun diserahkan kepada Umi untuk dijaga. Umi sangat bersyukur.

Mungkin ada yang menyangka Umi memilih Amir kerana ia bayi yang putih dan comel, namun hakikatnya Umi mengambilnya kerana sayang yang tulus daripada hati.

“Waktu Amir baby lagi, comot. Hitam. Tapi umi terima seadanya dia. Sayang sangat walaupun bukan ibu kandung. Umi terima. Allah yang bagi.”

Membesarlah Amir dalam keluarga Umi. Keluarga yang sangat mementingkan urusan ‘berjemaah’ dalam setiap perkara yang mereka lakukan.

Baik solat dan semasa makan. Walaupun lauk tidak ada tetapi anak-anak akan dipastikan duduk di meja berjemaah, sama-sama makan apa yang ada.

Malah, sekiranya anak-anak bermain pun ada istilahnya, ‘sepah berjemaah’.

Budaya solat berjemaah itu juga yang menciptakan satu memori untuk Umi yang tidak boleh lupa tentang Amir.

Ketika itu Amir baru beberapa bulan, belum boleh merangkak penuh. Masih lagi mengengsot. Mungkin kerap melihat keluarga umi berjemaah, dia mula faham sesuatu. Dia mengengsot ke sejadah dan letak kepala di atas sejadah, terkeluar daripada mulutnya, “Bat.” (Yang Umi dengar sebagai Allahuakbar)

Amir yang dikenali seorang yang tidak boleh berenggang dengan buku walaupun sebelum pandai membaca. Ia bermula pada umurnya empat tahun. Buku menjadi teman rapatnya. Apabila lalu sahaja depan kedai buku, ataupun kedai yang mempamerkan buku, Amir akan berkata, “Umi, buku Amir dah koyak.”

Be Strong. Baju arwah adik Amir

Maksudnya, belikanlah dia buku baru. Apabila dibawa masuk ke kedai buku, dialah anak yang paling gembira. Membesar jugalah Amir menjadi anak kecil yang sangat sukakan kucing. Di rumah Umi, Amir ada kucing kesayangannya yang tersendiri.

Walaupun Umi sayang Amir, tetap Umi maklumkan kepada Amir bahawa dia punyai ibu kandung. Umi ini hanya emak angkat. Akan datang pada suatu hari nanti, Amir tetap perlu pulang membela dan menjaga ibu kandung. Umi mahu Amir sedar hakikat dirinya sedari awal.

Amir seorang yang pendiam apabila di luar bersama dengan orang asing. Namun apabila dia berada di rumah, dia seorang yang sangat kecoh. Seorang yang sangat petah. Walaupun di luar dia pendiam, tidak selasak anak-anak lain, sekiranya ditanya dia akan menjawab penuh. Kata jiranya, “Cakap macam orang dewasa.”

Antara perkara yang membuat Umi sangat terkenang kepada Amir adalah sikapnya yang tidak mahu membebankan Umi.

Apabila ke kedai dan dia ternampak mainan atau benda yang dia mahu, dia hanya akan pandang dan renung. Dia tidak minta Umi belikan. (Kecuali buku). Namun dia sangat suka mengikut Umi ataupun kakak dan abangnya ke kedai. Dia suka berjalan. Tetap apabila sampai ke kedai dia tidak akan meminta apa-apa. Apa yang dibeli, apa yang diberi dia akan terima.

Apabila mahu mendaftarkan Amir ke sekolah, pihak sekolah mahukan surat daripada ibu kandung. Untuk kesekian kalinya, Umi memohon, “Zu, kalau boleh Umi minta dua tahu lagi untuk jaga Amir. Lapan tahun.”

Niat Umi hanya satu, umur enam sehingga lapan tahun adalah umur emas untuk mengajar anak-anak solat dan mengaji. Umi mahu melepaskan Amir ke luar sana menjadi seorang anak yang kuat asas agamanya. Solat dan Quran.

Umi juga mencadangkan, umur sembilan tahun untuk menghantar Amir ke Pusat Tahfiz. Ibu kandungnya juga tidak ada masalah. Kebetulan memang ada Pusat Tahfiz yang berhampiran dengan rumah ibu kandung.

Cuma, kita hanya mampu merancang, Allah juga yang menentukan. Perancangan Umi tidak berjalan seperti mahu Umi. Ibu kandung mahukan anaknya lebih awal. Umi reda (redha). Umi juga memujuk Amir untuk mengikut dan taat kepada ibu.

Meja dan kerusi tempat adik Amir belajar

Pada ketika Amir mengemaskan barang-barang untuk dibawa ke rumah ibu kandung, Umi pula sudah meraung dalam hati. Ketika Amir sudah hilang daripada mata, Umi menangis bersungguh-sungguh. Tiga bulan kesedihan itu Umi rasakan sangat tajam. Setiap kali terkenang Amir, air mata akan tumpah. Pandemik Covid 19 yang menghadkan pergerakkan juga membuatkan segalanya sukar.

Sehinggalah ayah tiri Amir sanggup membawa Amir sendiri datang ke Kuala Lumpur bagi bertemu. Walaupun pertemuan yang cuma satu jam lebih, yang pasti tidak cukup untuk melepas rindu, setidak-tidaknya ia cukup untuk membasahkan cinta dan kasih sayang Umi kepada Amir.

Amir menjadi anak yang paling gembira dan bahagia pada malam itu. Kakaknya menghulurkan video Amir yang viral beberapa bulan sebelumnya.

“Dik, tengok ni, adik glamour. Adik viral.”

Apabila melihat sendiri videonya yang sedang mengemaskan pakaian untuk dibawa ke rumah ibu kandung, Amir menangis. Entah apa yang membuatkan dia sangat sebak.

Sempat juga Umi bertanya, “Mahu tinggal dengan siapa?”

Jawapan Amir sangat mengharukan. Dia mahu tinggal dengan kedua-duanya. Dia rindukan Umi, tetapi dalam waktu yang sama Amir tidak mahu mengecewakan ibu kandungnya. Umi sangat bangga dengan jawapan Amir. Sehinggalah datang berita menyedihkan itu. Berita yang membuatkan luluhnya hati Umi. Namun tetap semuanya sudah dalam perancangan Allah. Umi redha dan menerima.

Kata Umi, “Tidak jatuh sehelai daun pun tanpa pengetahuan Allah. Semuanya dalam perancangan Allah.”

Itulah kisah adik Amir yang manis untuk dikenang. Anak yang taat dan anak yang memberikan inspirasi untuk ramai di luar sana.

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button