Mengenali keunikan tradisi Islam Rusia
KUALA LUMPUR: Pemelukan agama Islam oleh 25 juta rakyat Rusia bermula 1100 tahun yang lalu di Volga, Bulgaria.
Mungkin tidak ramai yang tahu, sebagai sebuah negara terbesar di dunia, kira-kira 20% daripada keseluruhan 150 juta penduduk Rusia, terdiri daripada penganut agama Islam.
Peristiwa bersejarah Khalifah Al Muqtadir mengiktiraf masyarakat di Volga, Bulgaria memeluk Islam berlaku pada tahun 922 Masihi, genap 1100 tahun yang lalu.
Ulangtahun ini diraikan secara besar-besaran dengan sokongan Presiden Rusia terkini, Vladmir Putin dan disambut di Rusia serta luar negara.
“Seawal abad ke-8 di wilayah Rusia moden sebuah masjid telah dibina, yang dianggap sebagai salah satu masjid tertua di dunia. Pada tahun 2022, atas perintah Presiden Vladimir Putin sambutan bagi meraikan ulangtahun ke-1100 penerimaan rasmi Islam oleh penduduk Volga Bulgaria mula diraikan.”
“Hari ini terdapat lebih daripada 8,000 masjid dan 25 juta umat Islam di Rusia. Di kalangan orang Islam terdapat wakil kewarganegaraan dan kumpulan etnik yang secara tradisinya tinggal di wilayah Persekutuan Rusia. Satu lagi fakta menarik: salinan cetakan pertama Al-Quran diterbitkan di Kazan, ibu kota Republik Tatarstan,” jelas Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Mufti Rusia & Timbalan Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia, Mufti Rushan Abbyasov.
Bagi mengenali dengan lebih dekat keunikan tradisi Islam di Rusia, Muzium Kesenian Islam Malaysia pada hari ini merasmikan pameran ‘Traditions of Islam in Russia’.
Ia didedikasikan untuk tarikh penting bagi umat Islam Rusia disamping memperkenalkan warisan budaya dan sejarah yang kaya dari penganut Islam di sana.
Pameran itu mengandungi lebih daripada 150 bahan pameran dan dibahagikan kepada 8 bahagian, setiap satu mewakili salah satu daerah di Persekutuan Rusia.
Masjid-masjid yang tersergam indah di Rusia, hari cuti keagamaan dan kebangsaan, kreativiti, pakaian tradisional serta masakan mewah orang Islam Rusia turut dipamerkan.
Salah satu bahagian pameran yang paling penting adalah menumpukan kepada hubungan Rusia-Malaysia, pencapaian penting, pencapaian bersama, dialog yang dibangunkan dan hubungan rapat antarabangsa kedua-dua negara termasuk dalam bidang agama serta sosial.
Sebelum ini, pameran ‘Traditions of Islam in Russia’ berlangsung dengan jayanya di Brunei, dan turut diadakan di Indonesia dan Arab Saudi.
Antara lain, pameran itu menjadi medan untuk memperkenalkan Rusia, seterusnya memberi peluang kepada pelawat mengenali lebih dekat negara itu.
Selebihnya, ia juga bermatlamat supaya pelawat mengagumi warisan senibina Islam khususnya yang terdapat di Rusia.
“Saya merasakan kini, lebih ramai pelawat yang teruja untuk datang ke Rusia dan melihat dengan lebih dekat cara hidup orang-orang Muslim di sana,” kata Mufti Rushan Abbyasov.
Ujar beliau, pameran itu nanti diharap boleh menjadi garis panduan kepada pelawat untuk lebih berminat dengan Rusia, sekali gus berkunjung ke negara itu bagi meneroka keistimewaannya.
Beliau turut berharap pameran itu nanti berupaya menyuntik rasa dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengenali Rusia, lebih-lebih lagi mereka yang mahu meneroka tentang Islam di negara tersebut.
“Hubungan baik kedua-dua negara ini terjalin sangat memberangsangkan, kukuh dan sentiasa berkembang dengan positif sekali,” ujar Mufti Rushan Abbyasov.
Pameran ‘Traditions of Islam in Russia’ akan terus berlangsung di Muzium Kesenian Islam bermula hari ini sehingga akhir tahun.
BACA JUGA
Syria umpama kem ‘penjara udara terbuka’ kanak-kanak