Israel telah mengebom Semenanjung Gaza yang padat dengan penduduk, kira-kira 2.3 juta orang, sejak kumpulan Palestin Hamas melancarkan serangan mengejut hujung minggu lalu.
Kini, enklaf itu tidak mempunyai bekalan elektrik selepas loji kuasa tunggal Gaza akan kehabisan bahan api pada hari Rabu, menjejaskan perkhidmatan penting termasuk hospital.
Di manakah Gaza mendapat bekalan elektriknya?
Israel memotong bekalan elektrik dan menyekat kemasukan makanan dan bahan api ke Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada strategi “pengepungan menyeluruh” dan tindak balas terhadap serangan Hamas.
Mesir juga menutup lintasannya ke Gaza pada hari Selasa selepas serangan udara Israel ke atas kawasan sempadan.
Dengan satu-satunya loji janakuasa enklaf itu kehabisan bahan bakar, warganya kini bergantung sepenuhnya pada generator persendirian.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Palestin Mai al-Kaila mengumumkan bahawa “stok bahan api untuk mengendalikan generator di hospital Semenanjung Gaza akan berakhir esok, Khamis, yang akan memburukkan lagi keadaan di hospital.”
Mengapa Gaza tidak boleh mendapatkan lebih banyak bahan api?
Semenanjung Gaza telah berada di bawah sekatan darat, udara dan laut Israel selama lebih dua dekad.
Ini bermakna penduduk Gaza telah terasing dari seluruh dunia, dan hidup dalam apa yang disifatkan oleh pakar hak asasi manusia dan undang-undang sebagai penjara terbuka.
Sekatan itu juga bermakna Semenanjung Gaza bergantung kepada bahan api, makanan dan bekalan perubatan yang datang dari atau melalui Israel.
Dengan adanya “pengepungan menyeluruh”, bermakna membawa masuk apa-apa bahan api untuk loji janakuasa atau penjana kendalian bahan api adalah mustahil.
Srinivas Burra, pakar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan profesor di Universiti Asia Selatan New Delhi menyifatkan tindakan Israel sebagai “pelanggaran jelas” undang-undang antarabangsa.
“Perdana menteri Israel telah berkata bahawa negaranya sedang berperang. Sebaik sahaja anda membuat pengisytiharan itu, anda dikehendaki mengikut undang-undang antarabangsa dan mematuhi peraturan perang,” kata Burra kepada Al Jazeera.
Israel tidak berbuat demikian, katanya.
“Ia adalah peraturan perang pertama: Ia mesti kekal di antara pejuang,” tambah Burra. “Apabila anda menghukum orang awam seperti yang dilakukan Israel, itu jelas menyalahi undang-undang.”
Sejauh manakah hospital terjejas?
Hospital-hospital di kawasan yang terkepung, yang sibuk menerima mangsa pengeboman Israel, bergantung pada penjana sampingan untuk menggerakkan banyak peranti perubatan kritikal, kata Hassan Khalaf, pengarah perubatan Hospital Al-Wafa di Bandar Gaza.
Khalaf meramalkan penjana sampingan mempunyai hayat “maksimum: beberapa hari”, dan mungkin sesingkat sehari atau dua hari, di tengah-tengah bekalan bahan api yang semakin berkurangan akibat daripada sekatan israel.
Beliau berkata ketika ini terdapat 100 bayi yang baru lahir bergantung kepada peralatan perubatan berkuasa elektrik di Semenanjung Gaza. “Bayi baru lahir ini, mereka tidak dapat bertahan kerana mereka bergantung dalam setiap aspek kehidupan pada elektrik dan peralatan bantuan,” katanya kepada Al Jazeera. “Mereka sangat kecil. Mereka sangat lemah.”
Doktor itu juga berkata terdapat kira-kira 1,100 pesakit yang bergantung pada mesin dialisis untuk kelangsungan hidup di Gaza, dengan mengatakan bahawa kepungan Israel adalah “pembunuhan besar-besaran”.
Bagaimanakah tanggapan masyarakat antarabangsa?
Pada hari Selasa, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Volcker Turk berkata keengganan Israel untuk membekalkan makanan, bahan api dan komoditi penting lain ke Semenanjung Gaza adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.
Malah Kesatuan Eropah, yang menyokong kuat dakwaan Israel bahawa tindak balasnya terhadap serangan Hamas didorong oleh keinginan untuk mempertahankan diri, telah mengkritik pengepungan total ke atas Gaza.
Josep Borrell, ketua dasar luar EU, pada hari Selasa berkata Israel melanggar undang-undang antarabangsa.
SUMBER : Nils Adler dan Charu Sudan Kasturi / AL JAZEERA DAN AGENSI BERITA