DomestikInspirasiSemasa

Memburu Pahala 10 Malam Terakhir Ramadan

Oleh wartawan pelatih, Azrina Amri

Masa berlalu begitu pantas, sehingga tidak sedar Ramadan semakin ke penghujung. Tidak dapat disangkal lagi 10 malam terakhir, adalah malam yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam bagi mengejar malam Lailatul Qadar.

Oleh itu, dalam menghitung 10 malam terakhir Ramadan ini, kita disarankan banyak melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh tanpa mengabaikannya.

Dalam Riwayat yang disebut oleh ‘Aisyah R.Anha yang bermaksud:

“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya” Riwayat Al-Bukhari

Malah, Riwayat lain juga ada menyebut yang bermaksud:

“Rasulullah saw bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir tidak seperti bulan-bulan yang lain” Riwayat Muslim

Jadi, bilakah waktu yang disebutkan sebagai 10 malam terakhir ?

Sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan bermula pada malam kedua puluh satu, sama ada bulan itu berjumlah 30 hari ataupun 29 hari.

Apabila tibanya sepuluh malam terakhir ini, umat Islam diseru untuk mengandakan amalan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya, Allah menjanjikan kepada hambanya, terdapat satu malam yang amat bermakna di bulan mulia ini digelar sebagai Lailatul Qadar. Malam yang sangat istimewa sehingga dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan.

Berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. (Surah Al-Qadr:  1-3)

Baginda SAW menyatakan bahawa malam Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam akhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadhan. Berdasarkan sebuah hadith, daripada Jabir bin Samurah Ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”. (Riwayat Ahmad)

Dalam mengejar malam Lailatul Qadar ini, banyak amalan yang boleh dilakukan supaya sepuluh malam akhir Ramadan ini  dihidupkan dengan amal ibadah kepada Allah SWT.

Antara amalan yang dilakukan pada sepuluh malan terakhir Ramadan adalah dengan berjaga malam atau bangun malam untuk bersolat yang sangat dituntut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada lailatul qadr kerana keimanab dan hal  mengharap pahala, akan diampuni baginya segala dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari)

Qiamullail merupakan amalan yang Rasulullah SAW lakukan bagi menghidupkan malam dan baginda akan membangunkan ahli keluarga untuk bertahajjud.

Amalan yang seterusnya adalah membaca Al-Quran, ini kerana pada bulan Ramadan pahalanya akan dilipatgandakan. Ini mengambarkan betapa besarnya ganjaran yang Allah SWT berikan kepada hambanya ketika beribadah di bulan yang mulia ini.

Dari Ibnu Abbas, beliau berkata yang bermaksud:
“ Jibril menemui Rasulullah SAW setiap malamnya di bulan Ramadan. Jibril mengajarkan Al-Quran kala itu, dan Rasulullah SAW adalah yang plaing semangat dalam melakukan kebaikan bagai angin yang bertiup.” HR Bukhari dan Muslim

Amalan seterusnya adalah bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah SWT. Ini kerana amalan bersedekah jika dilakukan bertepatan dengan malam lailatulqadar maka amalan itu lebih baik dari seribu bulan.

Memberi makan pada orang yang berpuasa juga merupakan antara amalan bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi iftar (hidangan berbuka) orang-orang yang berpuasa / puasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun” HR Bukhari dan Muslim

Bulan Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk bertaubat dan menghidupkan istighfar atau zikir kepada Allah SWT. Semakin dekat kita dengan penghujung Ramadan semakin keraplah kita bertaubat kepada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristighfar) kepada Allah kerana aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” HR Muslim

Begitu banyak sekali pahala yang Allah SWT gandakan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah pada penghujung Ramadan ini.

Semoga Allah SWT memberi kita peluang bertemu malam Lailatul Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut dan melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya.

 

 

 

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button