InspirasiSemasa

“Memang dari dulu cita-cita makcik nak jadi cleaner masjid”

Dalam kesibukkan kita mengejar dunia, kadang kala kita terlalai menjejakkan kaki ke rumah Allah bagi melaksanakan solat fardhu berjemaah.

Malah, ada yang sudah jarang melibatkan diri dalam aktiviti yang mengimarahkan masjid dan merapatkan hubungan silaturahim sesama saudara seagama.

Kalau datang pun, mungkin hanya menjadi tempat persinggahan untuk ke tandas, tempat untuk beradu dan berehat sebentar.

Namun tidak bagi seorang wanita ini, walaupun usia mencecah 68 tahun, insan yang bernama Miskijah Misran ini sentiasa berada di masjid kerana bertugas menjadi seorang ‘cleaner’ di Masjid Ma’Muniah Sungai Nipah.

Menurutnya, soal umur tidak menjadi halangan kerana didorong oleh keikhlasan serta ia tidak membataskan usahanya bagi melaksanakan tugas mulia ini.

Miskijah yang juga merupakan seorang ibu tunggal kepada seorang anak lelaki memaklumkan kepada Ummah Today bahawa sudah menjadi cita-citanya sejak dulu untuk berkhidmat sebagai cleaner di mana-mana masjid.

Seawal 8 pagi lagi Miskijah datang ke masjid bagi memulakan pekerjaannya, mengemop lantai, menyapu sampah, dan mencuci tandas.

“Memang cita-cita mak cik dari dulu lagi nak jadi tukang cuci masjid ni, dulu ada suami yang tanggung keperluan tetapi apakan daya jodoh tak panjang, mak cik kenalah berdikari untuk cari rezeki sendiri.

“Jika ditakdirkan umur masih panjang, mak cik akan terus kerja berkat ini sampailah orang dah tak perlukan atau dah tak sukakan mak cik lagi di sini,” katanya.

Menurutnya lagi, di kala umurnya yang sudah lanjut ini, dia sudah tidak perlu untuk mengejar keduniaan lagi, hanya menumpukan kepada amalan kebaikan sebagai persiapan menuju akhirat.

“Hanya inilah kerja yang makcik mampu buat pun, nak buat kerja-kerja berat dah tak larat dah, syukur Alhamdulillah impian makcik tercapai dan selagi masih bernyawa, makcik akan terus berkhidmat di masjid ini,” katanya lagi.

Miskijah turut memberitahu bahawa anak lelakinya itu sudah pun berumah tangga, namun dia tidak mahu terlalu mengharapkan wang anaknya semata-mata, dia tetap gigih untuk mencari rezeki dengan kudratnya sendiri.

Apa yang dilakukan oleh nenek ini sudah pasti membuka mata masyarakat agar tidak terlalu alpa dengan duniawi, dunia hanyalah tempat persinggahan buat manusia ‘mengutip’ seberapa banyak bekalan untuk dibawa menuju ke alam abadi iaitu akhirat.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button