DuniaSemasa

Mekah dilanda ribut dan hujan lebat

MEKAH: Suasana di Masjidil Haram bertukar panik seketika apabila ribut petir dan hujan lebat melanda kotanya dan beberapa kawasan sekitar secara tiba-tiba dalam waktu Maghrib, pada Rabu.

Berdasarkan video tular yang dikongsi di media sosial, jemaah yang sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib dilihat cemas akibat ditiup angin kencang.

Pada masa sama, penghadang di pekarangan Masjidil Haram dan beberapa jemaah kelihatan turut diterbangkan oleh angin kuat.

Menurut saksi, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan) memaksa jemaah yang sedang menunaikan umrah dan solat di kawasan sekitar Masjidil Haram lari bertempiaran mencari perlindungan.

Memetik laporan BHarian, seorang jemaah Malaysia, Zubir Mohd Yunus berkata ribut kuat disusuli hujan ais berlaku ketika beliau dalam perjalanan dari Taif menuju ke Mekah.

“Rombongan bas kami terpaksa berhenti beberapa kali kerana keadaan berbahaya“.

Bagaimanapun, kami selamat tiba di Mekah jam 8.30 malam. Keadaan di kota Mekah ditenggelami air hujan dan jalan begitu sesak,” katanya yang sedang menunaikan umrah selama dua minggu di kota suci itu.

Sementara itu, menurut penduduk, ribut petir itu disifatkan antara yang terburuk selepas kejadian ribut yang menyebabkan tragedi kren tumbang pada tahun 2015.

Tular juga beberapa foto dan video yang menunjukkan kilat menyambar menara jam Abraj Al-Bait yang dikenali sebagai Menara Jam Mekah.

Fenomena itu berjaya dirakam orang ramai dan menjadi perbualan di media sosial.

Namun begitu, pihak berkuasa tempatan menyifatkan, hujan ribut berkenaan sebagai rahmat untuk kota suci itu kerana suhu di seluruh wilayah di Arab Saudi ketika ini semakin meningkat.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button