Semasa
Mejar Mohd Fareez kini dalam keadaan stabil

KUALA LUMPUR : Juruterbang pesawat Hawk, Mejar Mohd Fareez bin Omar TUDM yang cedera di dalam insiden kemalangan pesawat Hawk pada 16 November lalu selamat menjalani pembedahan.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan berkata Mejar Mohd Fareez Omar TUDM yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Beliau selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi buat masa sekarang dan telah sedar serta dalam keadaan yang stabil.
“Beliau kini di dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan.
“Bagi rancangan rawatan beliau selanjutnya, pihak TUDM akan terus memastikan urusan rawatan perubatan diuruskan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, TUDM turut memaklumkan segala urusan kebajikan isteri dan anak-anak beliau dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth.
Sementara itu, Lembaga Siasatan telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan terbabit.
TUDM juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih kebenarannya serta turut sama mendoakan kesembuhan kepada Mejar Mohd Fareez bin Omar TUDM.
Oleh Hafeez Anuar