DuniaSemasa

Islamophobia makin meneguh di Perancis

Suspek tikam wanita Islam didakwa

PARIS : “Arab Kotor”!  “Ini bukan tempat anda….” Herdik wanita warga Perancis sebelum menikam dua wanita berhijab di kaki Menara Eifel.

Atas apakah sebabnya dua  wanita  berhijab itu ditikam pun tidak diketahui sebabnya pada kejadian 18 Oktober lalu, dua hari selepas isu hangat guru dipenggal.

Namun dipercayai sebelum kejadian, kedua-dua wanita berhijab berketurunan Algeria itu menegur supaya wanita tersebut menambat anjing mereka.

Rentetan itu, salah seorang wanita yang juga pemilik anjing tersebut mengeluarkan pisau lalu menikam dua wanita bertudung yang masing-masing berusia 19 dan 40 tahun.

Suara mengerang didengari dalam video kejadian yang tersebar di media sosial.

sumber:yenisafak.com

Wanita berusia 40 tahun itu, Kenza menerima enam luka tikaman dan dirawat di hospital berhampiran kerana kecederaan pada paru-paru.

Manakala mangsa yang muda, Amel, yang ditikam tiga kali, dirawat di hospital tetapi sudah pun dibenarkan pulang.

Difahamkan kedua-dua pelaku jenayah itu mabuk ketika mereka menemui sekumpulan wanita dan kanak-kanak Islam bersiar di taman Champ de Mars, Paris.

Kedua-dua wanita itu didakwa semalam dengan pertuduhan bersama-sama melakukan serangan dan penghinaan bersifat perkauman, menggunakan senjata, serta mabuk.

Suspek utama kini diletakkan di bawah jagaan pencegahan manakala rakannya dibebaskan dengan ikat jamin.

Peguam mangsa, Arie Alimi, memohon penyerang dikenakan tuduhan lebih berat kerana suspek didakwa cuba membunuh atas alasan kebencian kaum dan agama.

Kejadian di kaki Menara Eifel itu menambah ketegangan mengenai anti-Islam di Perancis.

Belum pun reda isu seorang guru dipenggal leher kerana menunjukkan kartun Nabi Muhammad SAW kepada anak muridnya, Paris terus ditimpa lagi isu kebencian kepada Islam.

Malah di media sosial, heboh berkenaan insiden ini yang memperlihatkan kecenderungan media Perancis yang berpihak mendiamkan diri dengan nasib masyarakat Islam di sana.

Beberapa pertubuhan utama masyarakat Islam di Perancis bercakap mengecam pembunuhan kejam ke atas guru terbabit yang berlaku di pinggir bandar Paris pada 17 Oktober.

Antaranya Majlis Islam Perancis, CFCM, yang menyatakan pembunuhan itu adalah satu perbuatan jenayah dan tindakannya tidak boleh dikaitkan dengan serangan pengganas Islam, malah tidak relevan sama sekali.

Dalam satu kenyataannya CFCM mengutuk keras pembunuhan ke atas guru terbabit, Samuel Paty, pada kejadian jam 5:00 petang waktu tempatan pada 17 Oktober lalu.

Paty dipenggal seorang remaja 18 tahun disyaki berketurunan Chechen, Abdullah Anzorov, berhampiran sebuah sekolah di Conflas Saint-Honorine kira-kira 30 kilometer (km) di barat daya Paris.

“Islam tidak menyokong malah mengutuk serta melarang umatnya melakukan keganasan. Apa pun alasannya, kami mengutuk keras pembunuhan itu.” – CFCM

Paty sebelum itu dikatakan menunjukkan kartun merujuk sebagai Nabi Muhammad SAW ketika mengendalikan subjek berkaitan kebebasan mengeluarkan pendapat.

Suspek kemudian maut akibat ditembak polis ketika cuba melawan ketika ditahan.

Dalam perkembangan lain, Kumpulan Muslim Perancis (RMF) menyifatkan pembunuhan sadis itu sebagai satu lagi insiden yang meningkatkan tanggapan buruk terhadap Islam dan menaikkan sentimen Islamophobia di Perancis.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kami menegaskan bahawa RMF tidak menyokong sebarang bentuk kekerasan,” –  Presiden RMF, Otmane Aissaoui.

Nasib umat Islam di Perancis kembali goyah selepas insiden itu.

Apatah lagi selepas, ribuan berarak mempertahankan solidariti terhadap mangsa, kerana perbuatannya menunjukkan kartun Baginda Rasulullah yang dianggap mereka satu kebebasan bersuara sebaliknya meminggirkan perasaan dan rasa hormat terhadap pegangan orang Islam.

Pihak pendakwaan antikeganasan negara itu menoktahkan kejadian terbabit ada kaitan dengan pengganas.

Lebih malang, Presiden Perancis Emmanuel Macron sendiri memberi justifikasi bahawa serangan ke atas Paty adalah serangan pengganas Islam.

Macron dilihat seolah berat sebelah dalam memberi kenyataan mengenai Islam.

Dua minggu lalu, selepas heboh mengenai pembicaraan karikatur Nabi Muhammad SAW dan penerbitan semula naskah terbabit, Macron mengumumkan rancangan mempertahankan nilai sekular bagi menentang kumpulan radikal Islam.

Tindakannya itu merangkumi pemantauan lebih ketat terhadap organisasi sukan dan persatuan lain supaya tidak menjadi tempat penyebaran Islam serta berakhirnya sistem imam yang dihantar ke Perancis dari luar negara.

Malah nasib umat Islam Perancis terut ditekan menjelang Disember, yang mana Macron akan memperkuatkan undang-undang tahun 1905 yang bakal memisahkan gereja dan negara.

Sejak awal tahun ini 70 masjid dan sekolah Islam swasta ditutup, dan terbaru masjjid di Pantin ditutup sementara selepas menyiarkan di Facebooknya mengenai kejadian sebelum isu guru dipenggal.

Ketegangan dan kejadian beberapa hari ini semakin mengancam masyarakat Islam di Perancis malah memperteguh Islamophobia di negara itu.

 

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button