Media asing sifatkan laungan azan di Indonesia sebagai pencemaran bunyi
JAKARTA : Majlis Ulama Indonesia (MUI) menzahirkan rasa kesal dan sedih berikutan media asing melaporkan penggunaan pembesar suara untuk laungan azan di negara ini sebagai ‘satu pencemaran bunyi’.
Setiausaha Agung MUI, Amirsyah Tambunan berkata, laporan tersebut bersifat perkauman berat sebelah.
“MUI amat kesal dengan segelintir pihak yang menganggap azan sebagai bunyi bising dan mengganggu,” katanya kepada Suara.com.
Laporan tersebut juga mendakwa penduduk Jakarta takut untuk membuat aduan berhubung bunyi azan yang dikatakan terlalu kuat kerana mereka bimbang akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu, Amirsyah menegaskan, media asing tidak seharusnya membuat kesimpulan melulu dengan mendakwa ada penduduk yang tidak boleh tidur kerana terganggu dengan laungan azan.
Menurutnya, peraturan terhadap tahap bunyi pembesar suara telah ditetapkan oleh pihak Dewan Masjid Indonesia (DMI) yang digunakan untuk laungan azan.
“DMI menetapkan, pembesar suara masjid hanya dibuka untuk laungan azan 10 minit sebelum waktu Subuh dan ditutup selepas itu,” ujarnya.
Terdahulu, media asing melaporkan, seorang penduduk Jakarta yang dikenali sebagai Rina memberitahu dia akan terjaga pukul 3 pagi setiap hari kerana terkejut dengan bunyi kuat pembesar suara masjid.
Laporan itu menyebut, Rina mengalami insomnia dan pada masa yang sama takut untuk membuat aduan kerana bimbang akan dipenjara atau diserang pihak tertentu.
-AGENSI