Mayat pelarian terapung di perairan `Pintu Neraka’
Dipercayai dari benua Afrika ingin cari kerja di Arab Saudi
HODEIDAH: Sekurang-kurangnya 25 mayat pelarian ditemui berhampiran Yaman hari ini, selepas bot yang membawa 200 penumpang terbalik di perairan Ras al-Ara.
Mayat itu ditemukan terapung oleh nelayan di perairan berkenaan berhampiran wilayah Lahij, kawasan yang terkenal bagi jenayah pemerdagangan manusia hingga penduduk tempat menggelarnya ‘Pintu Neraka’.
“Bot itu terbalik dua hari lalu dan membawa antara 160 hingga 200 penumpang,” kata pegawai pihak berkuasa Lahij, Jalil Ahmed Ali, yang memetik maklumat daripada penyeludup Yaman.
Nasib individu lain yang berada dalam bot itu tidak diketahui setakat ini.
“Kami menemui 25 mayat warga Afrika yang lemas apabila bot yang membawa ratusan penumpang tenggelam berhampiran pantai Yaman.
“Semua mayat itu terapung dalam air, kira-kira 16 kilometer dari pantai Ras al-Ara,” katanya.
Badan Antarabangsa untuk Migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesakan kepada AFP, bahawa sebuah bot tenggelam di kawasan terbabit, namun masih belum mendapat maklumat terperinci mengenainya.
Meskipun Yaman di landa perang berpanjangan, pelarian tetap menuju ke negara itu dengan harapan mendapat pekerjaan di Arab Saudi dan negara berhampiran yang kaya dengan sumber minyak, yang ekonominya bergantung pada pekerja asing.
Kumpulan pelarian kebiasaannya terkandas di Yaman, yang dibelenggu krisis kemanusiaan terburuk di dunia selepas konflik berpanjangan sejak enam tahun lalu.
Pantai Ras al-Ara adalah antara kawasan yang menjadi sasaran utama penyeludup. – AFP