Penghijrahan pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, 38, sering menjadi contoh buat masyarakat. Walaupun sibuk bekerja, namun ia tidak menjadi alasan untuknya lalai dengan urusan akhirat.
Baru-baru ini, Nabil yang juga penyampai radio Era FM itu tular di media sosial dengan video beliau membaca Al-Quran di konti sebelum ke udara.
@isseyfazlisham Sebab tu aku suka n minat Nabil punya perjuangan. @Nabilahmad @GEGAR @ERA
Video tersebut dirakam senyap-senyap oleh rakan penyampai, Issey Fazlisham yang mengakui dirinya sangat mengagumi perjuangan Nabil.
“Pukul 7 pagi, mari tengok apa Nabil buat. Mengaji dalam konti,” tulis Issey dalam video tersebut yang dimuat naik dalam TikToknya.
Perkara tersebut telah mendapat perhatian warganet yang membanjiri ruangan komen dengan memuji istiqamah serta perjuangan Nabil mencari cinta Tuhan.
Terdahulu, Nabil mula melakukan perubahan dalam hidupnya sejak tahun lalu apabila menyertai jemaah tabligh.