KYIV : Sebuah masjid Turki di bandar Mariupol, Ukraine kekal utuh biarpun pertempuran berterusan berlaku di dalam dan sekitar bandar itu, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Ketua persatuan Masjid Kanuni Sultan Suleyman, Ismail Hacioglu, pertempuran terus menerus terjadi di kawasan kejiranan yang berjarak hanya 2 kilometer (1.25 batu) dari perkarangan masjid.
“Masjid kami kekal tidak rosak,” katanya.
Pada Jumaat, sebuah peluru berpandu jatuh sekitar 700 meter (2,297 kaki) dari masjid yang kini menempatkan 30 warga Turki.
Hacioglu berkata tentera Rusia telah mengepung bandar itu dan telah menyerang pusat bandar.
Katanya, orang awam yang terkandas di bandar ini memerlukan barangan keperluan termasuk air dan makanan.
Sementara itu, bersama dengan mereka yang berada di masjid, terdapat 86 warga Turki menunggu untuk dipindahkan dan pihaknya sedang berkoordinasi dengan Kementerian Luar Turki untuk proses pemindahan.
Sejak Rusia melancarkan perangnya ke atas Ukraine pada 24 Februari, lebih 2.5 juta orang telah melarikan diri ke negara lain, dengan kira-kira 2 juta lagi kehilangan tempat tinggal di dalam negara.
Berdasarkan anggaran data yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 564 orang awam turut terbunuh dan 982 lagi cedera di Ukraine. – AGENSI