Covid19Semasa

Masjid pun kena kompaun…

Atas kesalahan gagal pamer pengimbas kod QR

PEKAN 22 April : Padah tidak meletakkan dan mempamerkan kod QR di pintu masuk masjid menyebabkan  Masjid Sri Maulana Taman Sri Maulana, Pekan di Pahang dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.

Pengurusan masjid dikatakan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan menyebabkan kompaun dikeluarkan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, notis kompaun itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan atas kegagalan pematuhan prosedur itu.

“Saya dimaklumkan masjid tersebut tidak mematuhi SOP kerana gagal menyediakan ​pengimbas kod bar MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan. Jadi, kompaun dikeluarkan agar masjid lain ambil iktibar. Bayaran boleh dibuat oleh pihak masjid dengan pengurangan sebanyak 50 peratus,” – Pengarah Kesihatan Pahang / Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah.

Tindakan kompaun dikeluarkan atas nama Pengerusi Jawatankuasa Masjid atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan di masjid dan surau negeri ini.

“Kita telah meminta penguatkuasa JAIP memastikan kod QR dapat dipamerkan dan diguna setiap individu yang datang ke masjid. Mungkin ada berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah atau oleh pengurusan itu di luar jangkaan kita,” – Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan / Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button