Dunia

Masjid jadi sasaran serangan tembakan di Jerman

BERLIN : Sebuah masjid di wilayah Saxony-Anhalt di Jerman menjadi sasaran dalam serangan bersenjata, menurut satu laporan awal Isnin.

Menurut laporan Agensi Anadolu (AA), berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh polis

dua individu mendengar tembakan berhampiran Pusat Kebudayaan Islam di Halle.

Polis menemui tiga butir peluru berhampiran lokasi kejadian.

Saksi mata menyatakan bahawa seorang lelaki berusia 55 tahun dari sebuah bangunan melepaskan tembakan ke arah masjid dari rumahnya.

Polis dilaporkan merampas dua senjata yang ditemui di rumahnya.

Kenyataan polis menyatakan bahawa suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan siasatan masih diteruskan.

Sementara itu, Majlis Pusat Umat Islam di Jerman mengecam kejadian itu dalam satu ciapan di Twitter.

“Syukur tiada siapa yang cedera. Polis masih sedang melakukan siasatan. Kebencian anti-Muslim dan perkauman bukan sekadar borak kosong,” kata kenyataan itu.

Majlis meneruskan ucapan terima kasih kepada polis kerana berjaya menangkap suspek dan berharap mereka dapat memberi penjelasan lanjut mengenai kejadian itu.

Majlis itu juga berkata masjid itu pernah menghadapi serangan serupa pada masa lalu.

Jerman telah mengalami peningkatan dalam isu perkauman dan kebencian anti-Muslim sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jerman adalah tempat tinggal kepada 81 juta orang dan menjadi tuan rumah penduduk Islam kedua terbesar di Eropah Barat selepas Perancis.

Daripada hampir 4.7 juta umat Islam di negara itu, sekurang-kurangnya 3 juta daripadanya adalah berketurunan Turki.

Komuniti Turki di Eropah bimbang dengan peningkatan trend Islamofobia dan Turkophobia di negara-negara Barat dan telah menyeru negara-negara Eropah untuk meningkatkan langkah-langkah menentang jenayah kebencian.

Pegawai Turki, termasuk Presiden Recep Tayyip Erdoğan, sering menggesa ahli politik Eropah untuk mengambil sikap menentang perkauman dan apa-apa jenis diskriminasi lain yang telah mengancam nyawa berjuta-juta orang yang tinggal di dalam sempadan blok itu.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button