KepenggunaanSemasa

Masjid Al-Hasanah menganjurkan Karnival Perkampungan Ummah bersama MAPIM Malaysia

BANGI: Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sekali lagi bekerjasama bagi menganjurkan Karnival Perkampungan Ummah sempena 22 tahun Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi.

Karnival ini diadakan selama tiga hari bermula 9 Disember hingga 11 Disember bertempat di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh MAPIM Malaysia, kempen derma darah, perkahwinan perdana 3.0, sunathon 2.0 dan banyak lagi.

Karnival Perkampungan Ummah sempena 22 tahun Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi ini dirasmikan oleh orang besar daerah Hulu Langat, To’Engku Abdul Jalil bin Abdul Rani.

Menurutnya, beliau berharap agar aktiviti-aktiviti yang diadakan ini dapat menjadi dorongan kepada masyarakat untuk kembali ke masjid yang merupakan pusat aktiviti bagi masyarakat setempat.

“Saya sangat teruja setibanya di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi ini kerana berwajah baru dan didatangi oleh ramai orang,” kata To’Engku Abdul Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia , (Dr) Ahmad Sani Dato’ Abdul Alim Araby berkata, dengan rasa cinta yang ada, sekiranya masjid ini masih ada lagi, tidak ada orang cina yang tidak mendapat bantuan, tidak akan ada orang india yang dipinggirkan dan tidak ada orang Islam yang kita pinggirkan.

“Masjid itu paksi, jangan sesekali kita kosongkan masjid ini. Berazam dengan diri sendiri, setiap hari, 365 hari, kita akan cuba menjadi orang yang memberi manfaat kepada manusia lain,” tegasnya.

Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.

Majlis perasmian ini juga diikuti dengan forum perdana ‘Cinta Masjid’ oleh Ustaz Bakhtiar Hj Abdul Hamid sebagai moderator dan Datin Sri Heliza Helmi, Cik Hazwani Helmi , aktivis MAPIM Malaysia serta Tuan Nadir Al-Nuri, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia sebagai panel jemputan.

Penampilan khas Kumpulan Nasyid Hijjaz memeriahkan lagi majlis perasmian dan menarik lebih ramai orang ke Karnival Perkampungan Ummah sempena 22 tahun Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi.

Lebih banyak aktiviti dan program yang dianjurkan sepanjang karnival ini. Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkannya lagi.

Related Articles

Back to top button