KUALA LUMPUR: Seorang wanita muda yang kehilangan penglihatan selepas terlibat dalam satu kemalangan sebelum Ramadan lalu anggap ia adalah sebagai gurauan Allah kepada dirinya berbanding menggunakan perkataan ‘ujian’.
“Saya tidak melihat apa yang menimpa saya sebagai musibah sebaliknya anugerah Allah SWT, tanda dia masih sayangkan saya,” kata usahawan Masitah Mohd Affandy, 32.
Masitah buta kedua-dua matanya selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 21 Mac lalu, dua hari sebelum Ramadan.
Malah kakinya juga patah dan mengambil masa untuk kembali pulih.
Susulan kemalangan yang menimpa dirinya itu, dia enggan terus berada dalam kesedihan dan kemurungan. Masitah meneruskan kehidupan barunya itu dengan penuh positif.
Kecacatan kekal yang dialami itu mendorong Masitah yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd untuk lebih bersemangat memberikan motivasi kepada orang lain.
Masitah menyifatkan takdir yang dilaluinya itu adalah cara Allah bergurau dengannya kerana dia mahu lebih positif dalam mendepani hidup.
“Biasanya kita akan bergurau dengan orang yang kita sayang. Maknanya Allah sayang saya,” kata Masitah.
Sementara itu suaminya Nik Nazri berkata apa yang berlaku tidak akan menjejaskan cintanya terhadap isteri tercinta.
Dengan sokongan dan dorongan yang diberikan oleh orang sekeliling manjadikan Masitah untuk lebih tabah menghadapi segala ujian dan rintangan yang mendatang dalam hidupnya.